MEMASUKI hari keenam Sukan Asia Hangzhou edisi ke-19, Malaysia setakat ini telah berjaya meraih 12 pingat yang terdiri daripada dua emas, tiga perak dan tujuh gangsa.
Pingat emas telah disumbangkan oleh pelayar negara, Nur Shazrin Mohamad Latif dalam acara ILCA 6 wanita dan juga atlet berkuda, Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil dalam acara dressage individu.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim ketika diminta mengulas perkembangan kontinjen Malaysia dalam Sukan Asia, melihat setiap keputusan perlawanan dengan minda positif.
Bagaimanapun, harapan KBS untuk mengutip 27 pingat secara keseluruhan juga akan dipandang dengan lebih realistik memandangkan kejohanan Sukan Asia kali ini berbeza daripada kejohanan yang lain.
“Banyak cabaran yang perlu diharungi oleh para atlet kita namun saya lihat mereka semangat juang yang tinggi dalam diri mereka dan masing-masing ingin menunjukkan kekuatan tersendiri.
“Setakat ini jika melihat pencapaian kontinjen negara di Sukan Asia, kita dapat beranggap supaya ada sinar yang lebih baik selepas ini.
“Terima kasih juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang terus beri sokongan dan galakkan yang positif buat para atlet kita,” katanya kepada pihak media ketika ditemui dalam program Jelajah Kopi Bermuzik pada Jumaat.