FOTO : SRI PAHANG FC
SELEPAS gagal ke separuh akhir Piala Malaysia, Sri Pahang FC kembali memberi tumpuan dalam saingan Liga Super dan berjaya mengatasi cabaran Kuching City FC 3-2 di Kuantan, pada Sabtu.
Bagaimanapun, skuad Tok Gajah bimbingan Fandi Ahmad dipaksa mandi peluh sehingga ke penghujung perlawanan sebelum mengesahkan tiga mata.
Tanpa membuang masa, Stefano Brundo membuka akaun jaringan m-13 dengan menyempurnakan sepakan penalti, namun berselang tiga minit Pedro Henrique bingkas menyamakan kedudukan situasi kelam kabut kawasan penalti tuan rumah.
Penyokong tuan rumah sedikit tergamam apabila Abu Kamara meletakkan Kuching City di depan m-27 menewaskan Zarif Irfan Hashimuddin.
LIGA SUPER 2023
FT : Sri Pahang 3-2 Kuching City FC
⚽ Stefano Brundo 13' (P), Kuvondyk Ruzyev 43', Rafael Silva 62'
⚽ Pedro Henrique 16', Abu Kamara 27'#LigaSuper2023 #hogohpahanghogoh#iamkuchingcity pic.twitter.com/XrQsHVPB45— Flash Sukan (@FlashSukan) September 30, 2023
Penyerang import Tok Gajah, Kuvondyk Ruzyev memastikan pasukan menuju ke bilik persalinan dengan seri 2-2 selepas mencatatkan nama selaku penjaring pada masa penghujung babak pertama.
Memasuki separuh masa kedua, tuan rumah mula memberi tekanan dengan mengatur beberapa gerakan merbahaya, namun benteng pelawat tetap utuh mengekang asakan tersebut.
Rafael Silva memastikan tiga mata penuh milik pasukan di laman sendiri apabila menyumbat gol kemenangan m-62. Sri Pahang kini memintas Sabah FC untuk berada di kedudukan keempat liga dan mengumpul 43 mata.
Manakala, kekalahan kali ke-16 liga mengekalkan status kelab dari Sarawak itu di posisi tercorot dengan hanya mampu meraih tujuh mata selepas 21 perlawanan.