PENJAGA gol  muda wanita negara, Nurul Azurin Mazlan terbang ke Croatia sekaligus menambah satu lagi pengalaman berlatih di luar negara.

Nurul Azurin sebelum ini menghabiskan beberapa bulan di India untuk bermain bersama Liga Wanita Kartanaka, Misaka United FC.

Namun kali ini, Nurul Azurin tidak keseorangan terbang ke Croatia memandangkan terdapat tiga lagi pemain bertuah bersama-sama mencari pengalaman ini.

“Saya ke sana atas dasar kursus kejurulatihan dan klinik bola sepak.

“Namun dalam masa sama berharap di Croatia ini akan dapat pengalaman yang penting. Mungkin kalau ada rezeki akan ada perbincangan lanjut. Tetapi kalau tak ada, saya anggap sahaja ia satu proses pembelajaran.

“Apa yang penting adalah dapat mencari pengalaman bersama ZNK Osijek yang kita tahu ianya antara kelab bola sepak wanita terkuat di Croatia, yang merupakan juara bertahan selama 12 tahun.

“Saya bersama Dian Aqilah dan Qaseh Rania akan bersama pasukan wanita menjalani latihan bersama. Mungkin akan ada juga perlawanan persahabatan,” jelasnya ketika ditemui FLASH SUKAN sebelum berlepas pada Sabtu.

Turut mengiringi pemain-pemain ini sebelum berlepas adalah Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Malaysia (PPBM) Normala Rashid serta keluarga masing-masing.

Sebagai rekod, rombongan ke Croatia ini merupakan program di bawah Kelab Bolasepak Sime Darby yang membawa pasukan Bawah 16 Tahun bersama enam jurulatih mencari pengalaman di sana.

Skuad muda Sime Darby ini dijangka akan menjalani latihan dan beberapa siri perlawanan persahabatan bersama pasukan B-16 kelab di Croatia.