KETUA Jurulatih skuad wanita kebangsaan, Soleen Al-Zoubi nyata gembira dengan perkembangan yang ditunjukkan para pemain negara selepas menewaskan Arab Saudi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat Kejohanan Women’s International Friendly di Taif, Arab Saudi pada Sabtu.
Gol tunggal menerusi kapten pasukan, Steffi Sidhu sudah cukup untuk memberikan kemenangan 1-0 sekaligus tempat ketiga dalam kejohanan antarabangsa pertama yang disertai Malayan Tigress di bawah kendalian jurulatih Jordan itu.
Meskipun tidak berjaya ke final selepas tewas menerusi penentuan penalti kepada juara, Lubnan, Malayan Tigress mempamerkan aksi berkualiti selain berjaya mengekalkan rekod tanpa bolos di sepanjang kejohanan yang melibatkan enam negara ini.
Tahniah Malayan Tigress! 🇲🇾
🥇LEBANON 🇱🇧
🥈BHUTAN 🇧🇹
🥉MALAYSIA 🇲🇾#FAM #HarimauMalaya #MalayanTigress pic.twitter.com/TqcVnWhVCg— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) September 30, 2023
“Sudah tentu gembira dengan kemenangan ini dengan para pemain menghadiahkan diri mereka sendiri dengan tempat ketiga ini yang mereka berhak terima sejak dari awal kejohanan. Kami juga gembira kerana berjaya mengekalkan ‘clean sheet‘ dan ini adalah satu keputusan yang cukup baik untuk kali pertama skuad ini menyertai kejohanan antarabangsa.
“Banyak kebaikan yang dapat diperolehi dan pengalaman untuk membina pasukan ini di masa hadapan dan ini juga membuktikan kita mempunyai permulaan yang baik dan juga masa depan yang baik. Kita hanya perlu bekerja keras dengan semua pemain, kelab, ibu bapa dan semua yang terlibat.
“Kami juga mahu mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang hadir memberikan sokongan dan percaya kepada pemain kerana tanpa kepercayaan ini, sukar untuk para pemain percaya kepada diri mereka sendiri dan kini mereka sudah memahaminya dan saya berjanji ini adalah permulaan buat skuad Malayan Tigress yang baharu,” katanya selepas perlawanan.
Soleen yang juga Pengarah Teknikal Bola Sepak Wanita FAM berkata banyak lagi tugas perlu dilakukan selepas ini bagi memastikan Malaysia melahirkan lebih banyak pemain yang berkualiti dan berpengalaman di peringkat domestik mahupun antarabangsa.
“Langkah seterusnya adalah terus membangunkan semua aspek dalam bola sepak wanita, bukan hanya skuad kebangsaan kerana kita akan kembali dengan Liga Wanita Nasional.
“Kita akan berikan peluang kepada semua pemain dan juga pasukan remaja untuk bermain dalam kejohanan yang teratur untuk mempunyai lebih pemain yang berkualiti dan berpengalaman di peringkat tempatan dan antarabangsa,” jelasnya.
Lubnan muncul juara selepas menewaskan Bhutan 1-0 dalam aksi final dan penjaga gol, Azurin Mazlan dipilih sebagai penjaga gol terbaik kejohanan selepas mengekalkan ‘clean sheet‘ dalam empat perlawanan yang disertai.