PELARI pecut wanita Singapura, Shanti Pereira muncul wanita kedua terpantas Asia apabila berjaya meraih pingat perak dalam acara 100 meter dengan catatan masa 11.27 saat di Temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 pada Sabtu.
Shanti, 27 hanya ketinggalan 0.04 saat dibelakang pemenang pingat emas Ge Manqi dari China manakala pelari Bahrain, Hajar Alkhaldi meraih gangsa dengan catatan masa 11.35 saat sekaligus memberikan Singapura pingat pertama dalam atletik sejak 1974.
“Ianya sangat mengagumkan. Saya tahu saya perlu berikan segala-segalanya diatas trek kerana saya bersaing dengan pelari-pelari yang sangat bagus.
“Ada antara mereka yang berlari bersama ketika Kejohanan Trek Asia di Bangkok pada Julai dan mereka semakin baik sepanjang musim jadi saya tahu saya perlu berikan 150,000 peratus dan saya gembira kerana berjaya lakukannya,” katanya.
Perlumbaan akhir itu sangat mendebarkan dengan Pereira dan Ge yang dipisahkan dengan lima lorong bersaing hebat sepanjang 100 meter sebelum pelumba China itu berjaya sampai lebih awal untuk meraih pingat emas di laman sendiri.
Kedua-dua pelumba yang sering berlumba bersama itu kelihatan gembira dengan kejayaan masing-masing dan Shanti segera bertemu Ge untuk mengucapkan tahniah sejurus perlumbaan.
“Saya sangat gembira dengan kejayaan Ge dan gembira buat diri saya juga. Ianya adalah satu perjalanan yang menakjubkan dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sentiasa berada di belakang saya setiap masa.
“Terima kasih kepada keluarga, jurulatih, rakan latihan, teman lelaki dan semua yang sentiasa berada di belakang saya sepanjang masa ini dengan segala kesukaran yang saya hadapi, saya berbangga dengan kejayaan ini,” tambahnya.
Shanti yang berjaya memenangi dua pingat emas ketika Temasya Sukan Sea Kemboja Mei lalu, membuktikan dia adalah pelari terpantas Asia Tenggara apabila turut layak ke Sukan Olimpik Paris secara merit tahun hadapan selepas mencatat masa 22.57 saat dalam acara 200 meter ketika Kejohanan Trek Dunia pada Ogos.