DALAM kalangan wartawan seangkatan dengan penulis yang lazimnya berbeza pandangan dan perspektif dalam semua hal, kami bersependapat dalam satu perkara – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, adalah Raja Berjiwa Rakyat.

Dididik sejak kecil untuk mengikut jejak langkah ayahanda Baginda, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, Al-Sultan Abdullah mendapat latihan tambahan agar berlapang dada dan bersikap terbuka apabila menyertai team pentadbiran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 1984, pada usia Baginda menginjak 25 tahun.

Bermula sebagai ahli majlis FAM di bawah teraju Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, Al-Sultan Abdullah menunjukkan minat mendalam dalam merencanakan pembangunan bola sepak negara.

Benar, pengkritik dan netizen mengeluarkan kata-kata sinis bahawa bola sepak Malaysia tidak berkembang pesat mengikut keadaan tetapi tiga atau empat dekad lalu, Al-Sultan Abdullah dan ayahanda Baginda antara tokoh yang mentransformasikan bola sepak negara dari status amatur kepada profesional.

Gandingan ayahanda dan anakanda dari Pahang ini memperkenalkan saingan semi-pro pada 1989, memprofesionalkan saingan liga pada 1994 dan melancarkan Liga Super pada 2004.

Sebelum era Tunku Ismail Sultan Ibrahim mentransformasikan jenama JDT ke benua Asia, Al-Sultan Abdullah membawa nafas segar untuk Pahang, sekalipun dibayangi ayahanda Baginda.

Sebelum semi-pro diperkenalkan secara meluas, Pahang sudahpun memiliki pemain asing – dua serangkai Singapura, T. Pathmanathan dan R. Suriamurthy pada 1983, disusuli Ronnachai Sayomchai dan Piyapong Pue-On dari Thailand.

Konsep mengumpul individu bergelar bintang untuk beraksi sebagai satu pasukan juga dipelopori oleh Al-Sultan Abdullah selaku Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dengan menghimpun Fandi Ahmad, Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Alan Davidson, Mubin Mokhtar, Ahmad Yusoff, Khairul Azman Mohamad dan Salahuddin Che Rose untuk diadun menjadi Pasukan Impian.

The Dream Team dibimbing oleh Mike Brown menyapu bersih semua gelaran bola sepak tempatan, iaitu Piala Sumbangsih, kejuaraan liga, Piala Malaysia, Piala Fairplay, Kasut Emas yang dimenangi Zainal Abidin serta rekod bolos paling sedikit.

Di peringkat FAM pula, selepas menewaskan Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada pemilihan FAM 2014, Al-Sultan Abdullah mengisi kerusi presiden yang diduduki ayahanda Baginda selama 30 tahun.

Kaedah pentadbiran Sultan Haji Ahmad Shah ditandai dengan keterbukaan Baginda mendengar semua pandangan tetapi tegas membuat keputusan. Dasar-dasar FAM pula dilaksanakan seorang pakar pentadbiran, iaitu mendiang Datuk Seri Paul Mony Samuel, bekas guru dan jurulatih negeri Kedah yang disegani seantero dunia.

Al-Sultan Abdullah pula lebih cenderung mengambil pendekatan musyawarah atau konsensus.

Contoh ketara apabila Baginda mencadangkan dua calon jurulatih kebangsaan dari Jerman sejurus mengambil alih kerusi presiden namun ahli jawatankuasa eksekutif FAM memikirkan Dollah Salleh sebagai calon sesuai menggantikan Datuk K. Rajagobal. Kesudahannya Dollah dilantik.

Baginda juga tidak kekok meminta pandangan daripada kelompok wartawan, khususnya penulis bola sepak dalam menentukan dasar-dasar penting.

Ada satu ketika Baginda meminta pandangan penulis sama ada pengurus atau jurulatih yang harus dikorbankan, penulis membalas jurulatih lebih penting dalam mencatur taktik pasukan.

Al-Sultan Abdullah kekal disegani di pentas antarabangsa. Pada 2015, Baginda terpilih menganggotai Majlis FIFA, jawatan yang dikhaskan kepada 37 individu seluruh dunia.

Selain dikenang sebagai tokoh yang membawa Piala Dunia FIFA Bawah 20 tahun ke Malaysia pada 1997, Al-Sultan Abdullah menjawat pelbagai kerusi dalam FIFA, termasuk selaku anggota Jawatankuasa Etika, Jawatankuasa Teknikal, Jawatankuasa Strategik dan Jawatankuasa Bola Sepak FIFA.

Dengan menggunakan jalinan rangkaian antarabangsa Baginda, Al-Sultan Abdullah juga memperkenalkan program menggalakkan pemain terbaik negara berkelana ke luar negara, termasuk Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Juzaili Samion, Fadzli Shaari dan Rudie Ramli.

Ini membawa penulis kepada pengalaman Baginda membuka loker Akmal di Strasbourg dalam lawatan rombongan Baginda ke Perancis pada 2000.

Memandangkan loker Akmal sedikit terbuka, Baginda mahu menutupnya kembali. Tatkala menutup pintu itu, Baginda sudah ketawa terbahak-bahak sekali gus menimbulkan keraguan dalam kalangan kami sendiri.

“Saya sangkakan poster Eric Cantona, Pele atau (Diego) Maradona, rupanya poster Siti Nurhaliza jadi pembakar semangat Akmal di sini (RC Strasbourg) ye,” seloroh Baginda.

Kata-kata Baginda dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Seoul untuk menghadiri Piala Dunia FIFA di Korea Selatan/Jepun pada 2002 juga masih terngiang-ngiang dalam minda penulis.

“Ayahanda bekerja keras untuk bawa Piala Dunia ke Asia dan dianjurkan dua negara terkuat di benua ini. Inilah harapan dan impian Baginda,” kata Baginda kepada penulis, sambil mengingatkan penulis bahawa Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah mengetuai delegasi Asia dan negara anggota AFC memulau Kongres FIFA di Los Angeles pada 1999 sebagai tanda protes terhadap kuota penyertaan Asia di Piala Dunia.

Kecintaan Baginda dalam sukan tidak terhad kepada bola sepak.

Baginda pernah mengetuai pasukan Polo Diraja Pahang dalam perlawanan antarabangsa di Windsor Polo Club, England, selain mengambil bahagian dalam pertandingan di Asia Tenggara seperti Singapura, Filipina dan Brunei, serta di Argentina, Amerika Syarikat, Sepanyol dan Belgium.

Penulis melihat sendiri di Buenos Aires bagaimana keluarga polo di Argentina begitu mesra dengan Baginda yang disifatkan sebagai anak Raja yang memiliki semangat kesukanan yang tinggi.

Dalam hoki pula, Al-Sultan Abdullah pernah memegang jawatan sebagai Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (KHM), Presiden Persekutuan Hoki Asia dan Ahli Lembaga Eksekutif Persekutuan Hoki Antarabangsa.

Dalam sukan polo pula, baginda merupakan Presiden Persatuan Polo Diraja Malaysia (RMPA), Presiden Kelab Polo Diraja Pahang (RPPC) serta memegang jawatan presiden bagi beberapa sukan lain seperti Kelab Skuasy Pahang (PSC), Kelab Golf Diraja Pahang (RPGC) dan Kelab Menembak Diraja Pahang.

Penulis Merafak Sembah dan Setinggi-Tinggi Ucapan Tahniah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 6 Jun 2022.

Semoga Allah SWT melimpahkan segala kurniaNya dan RahmatNya serta dipanjangkan usia ke atas Tuanku.

Daulat Tuanku.