PENYERANG berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva sudah bersedia untuk memberikan aksi terbaik untuk menggempur kubu kelab Thailand BG Pathum pada perlawanan kedua Kumpulan I, Liga Juara-Juara AFC (ACL) pada Selasa.
JDT yang tewas tipis 0-1 di tangan Kawasaki Frontale dari Jepun mahukan tiga mata penuh di Pathum Thani bagi memastikan cabaran mereka kembali hidup di peringkat kumpulan meskipun sedar tahap yang ada pada wakil Thailand itu.
“Kami tahu mereka bermain di liga yang baik dengan pasukan yang bagus tetapi kami adalah JDT. Kami tidak takut pada sesiapa dan kami boleh tekan mereka seperti kami lakukan pada Kawasaki Frontale dan musim lepas berjaya tewaskan Ulsan Hyundai.
“Kami sudah buktikan kepada semua apa yang kami mampu lakukan dan semua juga tahu JDT berada di tahap yang berlainan termasuk pemerhati bola sepak di Brazil. Apa yang perlu kami lakukan di sana adalah fokus dan lakukan yang terbaik untuk berikan kebanggaan buat semua para penyokong,” katanya.
Bergson yang mencipta enam gol pada edisi ACL musim lalu hingga mendapat perhatian kelab di Eropah tidak kisah siapa pun yang menjaringkan gol kerana baginya tiga mata penuh untuk Harimau Selatan adalah lebih penting dalam perlawanan ini.
“Sudah tentu kami mahukan tiga mata dan saya tidak kisah siapa pun yang jaringkan gol. Jika tewas sekalipun, biar seperti perlawanan sebelum ini kerana selepas mencuba menekan lawan dan itu adalah mentaliti kami. Apabila tewas apa yang penting adalah karakter yang ditunjukkan oleh para pemain untuk bangkit semula,” jelasnya.
Aksi BG Pathum dan JDT pastinya menjadi tumpuan penyokong bola sepak tempatan apabila dua kelab Asia Tenggara ini akan membuktikan kejaguhan masing-masing di peringkat terbesar Asia dengan kedua-dua kelab mahu mencari kemenangan pertama mereka musim ini.
Pada aksi perlawanan pertama, BG Pathum tewas 1-3 kepada Ulsan Hyundai di Ulsan dan sudah pasti mereka mahu menjadikan JDT sebagai mangsa untuk tiga mata pertama di laman sendiri.