PASUKAN bola jaring Johor Jewels sedar saingan Netball Super League musim ini sangat mencabar dengan kehadiran ramai pemain import tetapi mereka tetap yakin mampu mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.

Salah seorang ketua pasukan Jewels, Syafazliana Mohd Ali berkata meskipun diletakkan sebagai pasukan pilihan, namun mereka tidak memandang enteng mana-mana pasukan yang bertanding kerana tahu akan kekuatan dan kelebihan yang ada pada setiap pasukan.

“Untuk tahun ini, saingan sangat mencabar kerana semua pasukan ada pemain import tetapi kami tetap yakin kerana kami bermain sebagai satu pasukan dan dalam bola jaring, kombinasi pemain jadi penentu kejayaan sebuah pasukan.

“Kami juga tidak memandang enteng pasukan lain kerana masing-masing mempunyai kekuatan dan kelebihan tetapi bagi kami di Johor Jewels, kami hanya memfokuskan kepada pasukan kami sahaja dan sentiasa berikan yang terbaik dalam setiap perlawanan,” katanya ketika ditemui ketika majlis pelancaran NSL musim 2023 di ibu negara.

Pemain kebangsaan itu juga gembira dengan kehadiran bekas jurulatih negara, Tracie Robinson sebagai jurulatih baharu Johor Jewels selain perhatian yang diberikan oleh Keluarga DiRaja Johor yang banyak menyuntik semangat para pemain.

“Kehadiran Tracie Robinson banyak bawa perubahan kerana dia mempunyai rekod yang baik sebagai jurulatih Malaysia sebelum ini tetapi ini pertama kali dia bawa kelab Johor Jewels dan kami mahu hadiahkan kemenangan buatnya.

 

“Sumbangan Cik Puan Khaleeda sangat membantu menyuntik semangat buat pasukan kami dan kami ucapkan terima kasih kepadanya dan suami, Tunku Mahkota Johor yang banyak membantu Johor Jewels dalam pertandingan ini,” jelasnya.

Johor Jewels adalah antara pasukan yang tidak melakukan perubahan drastik musim ini dan Syafazliana yakin tahap prestasi pemain yang tinggi akan memastikan mereka mampu membentuk skuad yang lebih baik meskipun tidak sering berlatih bersama-sama.

“Kami tidak banyak melakukan perubahan tetapi sejak dua tahun lalu, kami tidak dapat berlatih bersama namun kami pastikan semua pemain berada pada tahap terbaik dan ini akan membantu membentuk pasukan menjadi lebih baik.

 

Johor Jewels akan membuka tirai saingan menentang naib juara KL Wildcats pada 13 Oktober dan mereka mahu mencapai kemenangan pertama kerana ianya penting untuk membina momentum musim ini dalam misi mempertahankan kejuaraan.

NSL 2023 menampilkan lapan pasukan dengan dua pasukan baharu, Terengganu Marvels dan Putrajaya Dynamites bakal memberikan cabaran buat Johor Jewels untuk merebut mahkota kejuaraan.