SITUASI pasukan yang dilanda kecederaan sedikit meresahkan pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner dalam usaha mencari kemenangan kedua di Kejohanan Piala AFC apabila berhadapan Bali United di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Gianyar, Bali pada Rabu.
Terengganu yang mengharungi jadual yang padat memaksa Tomislav untuk melihat kepada sesi latihan pada Isnin untuk menilai keadaan pemain sebelum membuat keputusan siapa yang bakal diturunkan dalam aksi kedua Kumpulan G itu.
Terengganu yang tiba di Bali sejak Ahad sudah mula menyesuaikan diri dan Tomislav tidak mahu kekalahan kepada Selangor dalam saingan Liga Super menggangu keadaan pasukan menjelang aksi penting itu.
“Kami akan turun berlatih hari ini dan saya akan melihat sendiri situasi kecederaan dalam pasukan. Sony Norde, Engku Shakir, Shahrul Nizam, Safwan Mazlan dan Ivan Mamut masing-masing mengalami sedikit kecederaan dan berharap mereka sempat pulih menjelang Rabu.
“Sebagai jurulatih, saya berharap para pemain tidak terlalu memikirkan kekalahan kepada Selangor dan tidak menjejaskan moral pemain untuk menghadapi Bali United di mana tiga mata sangat penting buat kami,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Terengganu yang kembali ke kejohanan kelab Asia selepas 12 tahun berjaya mencipta kejutan apabila menewaskan wakil Australia, Central Coast Mariners dalam aksi pembukaan di Gong Badak pada September dan kini mahu merampas tangga teratas liga dari Bali United.
Sementara itu, Bali United juga kembali ke landasan kemenangan selepas menewaskan Persikabo 2-0 dalam aksi Liga 1 yang memberikan semangat tambahan buat mereka sebelum berhadapan Terengganu.
Kedua-dua pasukan mencari kemenangan kedua dalam kumpulan selepas Bali United menewaskan wakil Filipina, Stallion Laguna 5-2 dalam aksi di Cebu untuk menduduki tangga teratas kumpulan dan kini bersedia melayan kunjungan naib juara Liga Super musim lalu yang juga dalam keadaan prestasi yang baik.