KETUA jurulatih skuad kebangsaan negara, Kim Pan-gon telah memilih 25 pemain terbaik untuk beraksi pada perlawanan Pestabola Merdeka 2023 dan akan memulakan kem latihan pusat bermula pada Jumaat ini.
Empat jentera penting daripada 25 senarai pemain tersebut iaitu Azam Azmi Murad, Mukhairi Ajmal Mahadi, Noaa Laine dan penjaga gol Suhaimi Husin merupakan tonggak daripada skuad B-23 yang akan beraksi pada Kelayakan Piala Asia 2024.
Manakala 21 pemain selebihnya terdiri daripada skuad yang telah dipanggil pada kem latihan pusat terdahulu menjelang Perlawanan Antarabangsa yang menentang China dan Syria pada September lalu.
Menurut Pan-gon , Pestabola Merdeka merupakan perlawanan bersejarah yang pernah disertai sebagai penonton suatu ketika dahulu namun kali ini dia menggalas tanggungjawab untuk memacu kegemilangan skuad kendaliannya.
“Ia merupakan satu detik istimewa dan saya bangga kerana dapat peluang untuk mengendali perlawanan Pestabola Merdeka sejurus menjadikan pertarungan ini sebagai persediaan buat Harimau Malaya beraksi dengan baik pada Kelayakan Piala Dunia Fifa 2026 / Kelayakan Piala Asia 2027 November ini.
“Saya akan meneruskan harapan untuk ‘membunuh’ semua pasukan pelawat yang menjadi saingan buat Harimau Malaya terutama apabila mereka bertandang ke Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Saya nampak skuad saya mempunyai satu peluang besar dalam menjuarai perlawanan ini dan saya juga ingin berterima kasih kepada pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana menganjurkan Pestabola Merdeka ini,” katanya dalam sidang media
Pestabola Merdeka 2023 akan membuka tirainya pada 13 hingga 17 Oktober 2023, menyaksikan Malaysia akan bertemu dengan India pada aksi pertama perlawanan dan seterusnya akan berdepan antara pasukan Palestin atau Tajikistan.