GEGAK gempita keriuhan penyokong kedua-kedua pasukan dijangka menimbulkan suasana ‘havoc’ apabila BG Pathum United dan Johor Darul Ta’zim (JDT) dijadualkan bertembung malam ini.

Stadium Pathum Thani yang boleh memuatkan kapasiti 10,114 menjadi medan genting Harimau Selatan dalam misi menakluki tiga mata penuh di bumi negara Gajah Putih ini.

Tersergam indah cat berwarna biru, stadium yang mula dibina pada tahun 2010 juga menjadi tumpuan pemain BG Pathum United yang bersemangat meneruskan misi memburu kemenangan.

Ia bersandarkan kepada rekod perlawanan terakhir lalu di sini pada 29 September lepas, mereka menang bergaya 3-1 ke atas Lamphun Warrior dalam saingan Liga Perdana Thai.

Bagaimanapun, skuad JDT seperti biasa mendapat dukungan padu daripada penyokong ke-12, Boys Of Straits (B.O.S) yang dikhabarkan ada melakukan rombongan melalui jalan darat dan udara dari tanah air hanya untuk menzahirkan bentuk sokongan tidak henti-henti sepanjang 90 minit permainan.

Selain itu, tinjauan FLASH SUKAN di luar stadium semalam mendapati terdapat penyokong tempatan yang membawa anak kecil dan memakai jersi The Rabbits yang merupakan nama julukan kelab tuan rumah sekali gus dapat merasai suasana awal kehangatan sebelum pertandingan sebenar bermula.

Terdapat juga khemah yang disediakan dan wing flag kelab bagi menambahkan lagi kemeriahan aksi kedua Liga Juara-Juara Asia. Turut tidak ketinggalan, terdapat penyokong yang tidak melepaskan peluang bergambar mahupun berselfie sebagai tanda kenang-kenangan dan bukti kesetiaan kepada kelab dicintai.

Dari segi akses para penyokong yang ingin ke stadium cukup mudah. Perkhidmatan grab disediakan termasuk bas yang kerap lalu lalang mengikut tempoh waktu.

Malah, jarak penginapan kami di Rangsit ke Stadium Pathum Thani hanya memakan masa 10 minit sahaja bergantung kepada keadaan trafik.

Banyak lagi pengalaman dan pengembaraan menarik kami di Pathum Thani. Jangan lupa terus LIKE, FOLLOW & SHARE bagi mendapatkan info perkembangan terkini di Flash Sukan.

Sawadeekap Thailand!