KEGAGALAN mekanikal ketika melepaskan anak panah, membuatkan pemanah negara Mohd Juwaidi Mazuki tersingkir di suku akhir, compound individu lelaki Sukan Asia ke-19.
Beraksi di Pusat Sukan Fuyang Yinhu, Juwaidi memberi saingan sengit kepada pemanah pilihan utama dari Korea Selatan, Joo Jaehon, namun terpaksa akur tewas selepas gagal melakukan satu panahan pada end keempat.
“Sebenarnya saya memang mensasarkan acara individu ini, tapi benda nak jadi… sayanglah.
“Saya tak ada masalah untuk berdepan pemainah Korea Selatan ini biarpun dia pilihan utama, kerana saya tahu dia masih lagi junior.
“Apa yang berlaku, saya nak salahkan peralatan… macam kurang senang tapi inilah hakikatnya.
“Ketika hendak melepaskan anak panah, berlaku masalah teknikal dan saya gagal melepaskannya sehingga masa tamat,” katanya, yang kembali meletakkan fokus kepada lima panahan terakhir yang berjaya membidik empat mata 10 dan satu mata sembilan.
Pada perlawanan itu, Juwaidi yang memenangi gangsa di Piala Dunia Antalya April lalu, tewas kepada Jaehoon 135-148.