PASANGAN suami isteri antara penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sanggup berkorban wang, masa dan tenaga hanya semata-mata demi menyokong pasukan kesayangan di Stadium Pathum Thani, Thailand.

Mohamad Fitree Mohd Hassan, 38, berasal dari Johor Bahru teruja perkembangan semasa bola sepak JDT yang semakin berkembang sehingga dikenali di pentas antarabangsa.

Malah, dia turut berbangga apabila Harimau Selatan memiliki fans base tersendiri termasuklah di luar negara.

“Seperti kita tahu, harapan peminat adalah untuk menggapai kemenangan selepas kalah di aksi pertama lepas.

“Cuma dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku. Tahniah penyokong JDT lain yang sanggup hadir ke Pathum Thani.

“Pada saya satu penghormatan buat JDT yang ada fans base macam ini. Saya harap penyokong pasukan lain pun boleh sokong pasukan mereka demi kemajuan bola sepak Malaysia,” katanya ditemui FLASH SUKAN di Pathum Thani, Thailand.

Mohamad Fitree yang ditemani isteri, Amalina Rahiza Abdul Rahim, 31, memuji usaha dilakukan pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim apabila berjaya meletakkan kelab selatan tanah air itu dalam kelas yang cukup berbeza.

Malam ini, anak buah Esteban Solari berdepan misi mustahak melakar tiga mata penuh aksi Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia dalam usaha membuka peluang kembali bersaing ke peringkat seterusnya.