SELANGOR FC telah mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak pemain pertahanan import dari Jordan, Yazan Al-Arab secara bersama serta merta selepas melakukan satu Prosiding Tatatertib.

Yazan telah melakukan tindakan luar kawalan apabila dia telah menendang pengadil selepas dilayangkan kad merah selepas perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Terengganu FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 24 September 2023.

“Merujuk kepada insiden yang berlaku selepas perlawanan Suku Akhir Piala Malaysia 2023 antara Selangor FC dan Terengganu FC pada 24 September 2023 yang melibatkan pengadil perlawanan dan Yazan Al-Arab (“Pemain”), Kelab Bolasepak Selangor (“Kelab”) telah menjalankan satu Prosiding Tatatertib berkaitan dengan insiden tersebut.

“Berikutan Prosiding Tatatertib tersebut, Kelab telah memutuskan untuk menamatkan kontrak Yazan Al-Arab melalui penamatan kontrak bersama secara serta merta.

“Kami di Selangor FC mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yazan Al-Arab di atas khidmat dan bakti beliau buat Red Giants sepanjang dua musim bersama dengan kelab.

ARTIKEL BERKAITAN: Sepak Pengadil: “Tamatkan kontrak, hantar dia balik elok-elok”

Kelab ingin mengucapkan selamat maju jaya dan mendoakan yang terbaik buat masa depan Yazan. Terima kasih Yazan,” tulis kenyataan media itu.

Selangor FC masih menunggu keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM berkaitan insiden ini dan mereka bersedia untuk menerima apa sahaja hukuman jika didapati oleh pihak berwajib mereka melakukan kesalahan.