PENGERUSI Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) Datuk Hans Isaac melaksanakan inisiatif khas bagi memastikan kegunaan rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sentiasa berada di landasan yang baik.
Menurut perkongsian di laman Instagram rasmi Hans , satu kawasan khas penanaman rumput telah dibuat oleh PSM bertujuan sebagai persiapan awal jika rumput di SNBJ memerlukan gantian dengan segera.
Hans yang merupakan bekas Presiden Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) ini dilihat sedang meninjau keadaan rumput di kawasan penanaman tersebut dan berharap agar langkah progresif yang dilakukan itu dapat menyelesaikan segala isu yang berkaitan.
Beliau juga menegaskan bahawa banyak perkara perlu diambil kira bagi memastikan struktur padang dan kualiti rumput sentiasa berada pada tahap yang diingini.
Rumput jenis Zeon Zoysia yang mula ditanam di SNBJ Ogos lalu telah dihadiahkan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) buat bola sepak negara bagi menggantikan rumput jenis Cowgrass.
Tambahan, padang SNBJ dijangka akan kembali digunakan menjelang aksi Pestabola Merdeka pada 13 Oktober ini dan menyaksikan empat pasukan bakal bertanding iaitu Malaysia, India, Pakistan dan Lubnan.