MASIH mampu hadiahkan pingat gangsa, meskipun diserang selesema, Datuk Pandelela Rinong menitiskan air mata, selepas aksi terakhir di Sukan Asia ke-19.
Dalam aksi di Pusat Akuatik Olimpik Hangzhou, ratu terjun negara itu mengalami prestasi turun naik sepanjang terjunan, namun 280.50 mata daripada lima terjunan sudah cukup untuk dia menyamai pencapaian di Temasya Guangzhou 2010, apabila memenangi gangsa acara 10m platform individu.
“Petang ini bukan persembahan saya seperti kebiasaan, tetapi lebih baik berbanding sesi pagi (kelayakan), jadi saya bersyukur dan rasa bertuah.
“Sebenarnya saya tidak sihat… selepas sesi pagi, saya telan pil tahan sakit, dapatkan urutan, terima kasih kepada staf ISN (Institut Sukan Negara) yang banbyak tolong,” kata Pandelela.
Menurutnya, selesema dialami bermula selepas dia meraih gangsa acara 10m platform seirama bersama Nur Dhabitah Sabri.
“Terima kasih juga saya ucapkan kepada Dhabitah kerana terjunan seirama sudah hadiahkan pingat, jadi saya kurang tekanan untuk terjunan hari ini.”
Pingat emas dan perak acara itu dimenangi China, menerusi Quan Hongchan (438.20 mata) dan Chen Yuxi (435.65 mata).