TERENGGANU FC untuk meneruskan rentak cemerlang di saingan Piala AFC apabila berjaya mengikat Bali United 1-1 dalam aksi kedua Kumpulan G, Piala AFC di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Gianyar, Bali.

Gol dari pemain muda, Syahmi Zamri enam minit sebelum tamat memadam jaringan Privat Mbarga pada minit ke-54 untuk Terengganu membawa pulang satu mata berharga dalam kempen Piala AFC musim ini.

Penjaga gol, Suhaimi Hussin juga memainkan peranan penting apabila berjaya menyekat beberapa percubaan berbahaya Bali United sekaligus mengesahkan mengapa namanya dipilih dalam senarai pemain Harimau Malaya.

Kedua-dua pasukan beraksi perlahan dan berhati-hati tanpa sebarang serangan yang berbahaya dilancarkan dengan bola lebih banyak tertumpu di bahagian tengah yang padat hingga menyukarkan pergerakan bahagian serangan.

Percubaan Tomislav Steinbruckner mempertaruhkan gandingan penyerang Adisak Kraison dan Engku Shakir nyata tidak membuahkan hasil apabila kedua-dua nya kurang menyerlah untuk membahayakan kubu lawan.

Bagaimanapun, Terengganu mula melancarkan serangan pada penghujung babak pertama dengan beberapa percubaan dari Nurillo Tukhtasinov dan Sony Norde namun sekadar tepat ke dakapan penjaga gawang Bali United, Adilson Marenga.

Cugurra melakukan perubahan pada permulaan babak kedua dengan menambah pemain di bahagian serangan dan taktikal itu nyata berkesan apabila Bali United berjaya mendapatkan gol pembukaan.

Berpunca dari sepakan penjuru, bola yang ditanduk Mohammed Rashid disambut Privat yang tidak dikawal untuk merembat kencang menewaskan Suhaimi Hussin untuk menggembirakan kira-kira 2,180 penyokong yang hadir.

Kemasukan Syahmi dan Omid Nazari nyata mengubah rentak permainan skuad Peteh dan akhirnya gol penyamaan yang dicari-cari terhasil selepas Syahmi Zamri menolak masuk bola hasil satu sepakan sudut.

Kedudukan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan dan Terengganu berjaya mencuri sama mata di tempat lawan dan menafikan hasrat Bali United untuk mengutip mata penuh dan kedua-dua pasukan kini terikat dengan empat mata selepas dua perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Bali United kekal di tangga teratas diikuti Terengganu di tangga kedua dan Central Coast Mariners di kedudukan ketiga dengan tiga mata selepas membelasah Stallion Laguna 9-1 dalam satu lagi perlawanan.