SEJURUS diisytihar pemenang pingat perak, Lovelly Anne Robberth menitiskan air mata, terkilan kerana tidak dapat berkongsi detik gembira itu bersama mendiang ibunya, Adriana Pamela Sundangit.

Pingat perak karate di Sukan Asia Hangzhou itu cukup bermakna buat Lovelly, yang langsung tidak diletakkan sandaran dalam acara kata individu wanita.

Lovelly Anne berkata, pingat yang dimenanginya itu adalah hadiah buat mereka yang sentiasa mendoakan kejayaan kepadanya.

“Pingat ini untuk ibu yang sudah meninggalkan saya dan untuk mereka yang mendoakan saya sehingga dapat naik podium dengan Olimpian.

“Saya gembira dan sangat bersyukur dapat mara ke final dan meraih pingat di Sukan Asia ini” katanya.

Lovelly Anne kehilangan ibunya ketika berusia 12 tahun kerana komplikasi di bahagian otak dan sejak itu dia tinggal bersama ayah dan keluarga serta neneknya di Penampang, Sabah.

Membesar sebagai anak yatim tidak menghalang Lovelly untuk terbabit dalam sukan dan dia yang kini berusia 19 tahun menjalani latihan sepenuh masa dan menetap di Majlis Sukan Negara (MSN) di bawah program atlet kebangsaan.

Katanya, dia langsung tidak menjangka, mara hingga ke final dan bertemu dengan seorang Olimpian yang mempunyai nama besar dalam acara kata itu.

“Saya sendiri tidak tahu untuk jelaskan perasaan saya kini.

“Dari segi prestasi saya puas hati sebab ini kali pertama saya sertai Sukan Asia dan dapat pergi hingga ke final,” katanya.

Dalam aksi final itu, Lovelly Anne, tewas kepada juara bertahan dari Jepun, Kiyou Shimizu dan ia adalah kejayaan hatrik Kiyou di temasya Sukan Asia selepas turut merangkul emas di Sukan Asia Incheon (2014) dan Jakarta-Palembang (2018).

Pingat gangsa diraih atlet Filipina Sakura Alforte dan Lau Mo Sheung Grace dari Hong Kong.