KETUA Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee tidak mahu para pemainnya terlalu gembira sebaliknya kekal fokus untuk menghadapi perlawanan akan datang meskipun berjaya membelasah PSM Makassar 5-0 dalam aksi Kumpulan H, Piala AFC.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Gianyar, Bali itu menyaksikan Sabah berpesta gol menerusi dua jaringan Darren Lok dan masing-masing satu dari Gabriel Peres, Stuart Wilkin dan Farhan Roslan sekaligus mengungguli tangga teratas kumpulan.

“Kami bermain mengikut perancangan dan PSM Makasar yang kehilangan seorang pemain sedikit sebanyak membantu namun kami tidak boleh terlalu gembira dengan kemenangan ini dan perlu fokus untuk perlawanan akan datang.

“Saya ucapkan tahniah kepada semua pemain kerana mereka berjaya mengikut apa yang dirancang dan akhirnya kami berjaya mencipta kemenangan selain dibantu kekurangan seorang pemain pasukan lawan.

“Meskipun pemain mempunyai beberapa isu di luar padang tetapi mereka membuktikan dengan menunjukkan mentaliti yang cukup baik dan kita dapatkan mata penuh dengan jumlah jaringan yang banyak,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Kim Swee juga memuji aksi yang ditunjukkan Saddil Ramdhani apabila mencipta tiga bantuan jaringan selain turut merasakan masih terlalu awal buat pasukannya untuk memikirkan kelayakan ke peringkat seterusnya.

“Saddil ingin buktikan sesuatu yang dia adalah seorang pemain yang bertaraf tinggi dan terbaik di Asia Tenggara. Namun ianya masih terlalu awal dan dia juga masih muda dan harap dia dapat berikan prestasi yang positif dalam perlawanan akan datang.

“Masih terlalu awal untuk berasa selesa kerana baru dua perlawanan dan perlu kekalkan momentum serta fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan di mana kita tidak ingin memikirkan kita akan layak namun perlu memikirkan yang kita hanya baharu bermain dua perlawanan,” jelasnya.

Kim Swee juga turut akan menilai keadaan pemain sebelum diturunkan dalam baki perlawanan Liga Super dan Piala AFC kerana ramai pemain yang keletihan ekoran jadual yang padat selain panggilan empat pemain ke skuad kebangsaan.

“Selepas ini akan ada rehat antarabangsa Fifa dan pada masa sama saya perlu melihat kepada perancangan kita kerana kita sudah keluar dari Sabah selama dua minggu. Pemain sedikit keletihan terutama empat pemain kebangsaan jadi saya perlu fikirkan perancangan yang lebih efektif selepas ini,” katanya.

Kemenangan 5-0 keatas PSM Makassar menyaksikan Sabah kini menghuni tangga teratas Kumpulan H dengan enam mata diekori Hougang United dan Haiphong FC masing-masing dengan tiga mata manakala PSM Makassar tercorot tanpa sebarang mata selepas berakhir dua perlawanan.