PENYERANG Sabah FC, Darren Lok gembira dengan dua jaringannya yang membantu skuad The Rhinos membelasah PSM Makassar 5-0 dalam aksi Kumpulan H, Piala AFC dan berharap dapat mengekalkan momentum ini ketika beraksi bersama Harimau Malaya.

Darren antara nama yang dipanggil ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon bagi menghadapi Kejohanan Pestabola Merdeka yang akan memulakan kem latihan pusat bermula 7 Oktober 2023 di Wisma FAM, Kelana Jaya.

“Saya sentiasa suka jaringkan gol dan apa yang penting adalah selagi saya dapat membantu pasukan menang saya gembira. Saya berikan 100 peratus komitmen pada setiap perlawanan dan saya harap dapat teruskan momentum ini untuk skuad kebangsaan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Dua jaringannya di Bali menjadikan jumlah golnya kepada empat dalam saingan Piala AFC musim ini namun dia juga senada dengan Datuk Ong Kim Swee yang mahu mereka tidak dibuai dengan kemenangan ini sebaliknya terus fokus dalam menghadapi perlawanan akan datang.

“Kita ikut rancangan perlawanan hari ini dan berjaya meraih kemenangan tetapi ini masih peringkat awal dalam pertandingan ini dan seperti kata jurulatih, kita tidak boleh terbawa-bawa kerana masih ada banyak perkara yang perlu dilakukan

“Jadi, untuk kemenangan ini, kita akan menikmatinya malam ini dan akan fokus pada perlawanan-perlawanan seterusnya,” jelasnya yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Ketajaman Darren di depan gawang turut mendapat perhatian jurulatih PSM Makassar yang menilainya sebagai pemain versatil yang mampu bermain di lebih dari satu posisi.