KEJAYAAN Sabah FC menewaskan PSM Makassar 5-0 dalam saingan Piala AFC pada Khamis bukan sahaja mengukuhkan kedudukan mereka di tangga teratas Kumpulan H malah mencipta rekod yang membanggakan buat kelab Malaysia.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh laman Footy Rankings, kemenangan besar 5-0 itu adalah kemenangan terbesar kelab Malaysia ke atas kelab Indonesia dalam Piala AFC.
Kali pertama kemenangan besar kelab Malaysia dilakukan Kelantan pada kempen 2012 yang lalu ketika di bawah kendalian Bojan Hodak di mana Kelantan berjaya menewaskan Arema Malang 3-0 hasil jaringan hatrik Mohammad Ghaddar yang juga menyaksikan The Red Warriors muncul juara kumpulan.
Kecemerlangan kelab Malaysia diteruskan pula oleh juara edisi 2015, Johor Darul Ta’zim yang menewaskan Persija Jakarta 3-0 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos pada musim 2018.
Sebelum tewas kepada Sabah, PSM Makassar juga pernah dibolosi lima gol oleh Kuala Lumpur City FC apabila tewas 5-2 ketika peringkat final zon ASEAN pada musim 2022 yang juga menyaksikan KL City layak ke perlawanan akhir.
Dua jaringan dari Darren Lok serta masing-masing satu dari Stuart Wilkin, Gabriel Peres dan Farhan Roslan menyaksikan Sabah mencipta rekod baharu dengan kemenangan 5-0 di tempat lawan.
Kepentingan bermain di peringkat Asia semakin menjadi keutamaan kelab-kelab di Malaysia dan kejayaan demi kejayaan ke atas lawan serumpun dan serantau ini benar-benar membuktikan tahap Liga Malaysia yang semakin meningkat.