PEMAIN tengah versatil Sabah FC, Stuart Wilkin menerima dengan positif undang-undang baharu Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang membenarkan enam pemain import pada satu-satu masa dan menganggap ianya sebagai cabaran yang perlu diterima pemain tempatan.

Stuart beraksi cemerlang di barisan tengah dan menjaringkan satu gol ketika membantu Sabah FC menewaskan PSM Makassar 5-0 dalam aksi Kumpulan H, Piala AFC di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Gianyar Bali pada Khamis.

“Enam pemain antarabangsa dalam permainan sangat menarik dalam pertandingan ini dan ianya menjadikan saingan lebih hebat kerana kurang seorang pemain tempatan dalam padang dan saya jadikannya motivasi tambahan untuk kekalkan tempat dalam pasukan.

“Para pemain gembira dengan kemenangan 5-0 di tempat lawan dan keyakinan kami kembali dalam perlawanan. Keputusan untuk tiba awal di Bali bagi melakukan persiapan lebih rapi dapat dilihat menerusi keputusan perlawanan ini,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Stuart yang berjaya menjaringkan gol pertama dalam Piala AFC menganggap golnya sedikit bernasib baik tetapi dia bangga dengan sumbangannya buat pasukan dan berharap keyakinan ini dapat dibawa ke kem latihan skuad Harimau Malaya.

“Jaringan saya sedikit bernasib baik tetapi kita tidak tahu jika tidak mencuba. Saya berasa baik untuk jaringkan gol dan membantu dalam jaringan pemain lain dan gembira dengan gol Darren Lok, Gabriel Peres dan Farhan Roslan.

“Dengan prestasi semasa ketika ini, saya tidak sabar bermain untuk melaporkan diri dengan pasukan kebangsaan dan merebut tempat dalam kesebelasan utama untuk beraksi di kejohanan bersejarah, Pestabola Merdeka,” jelasnya.

Pemain berusia 25 tahun itu memberikan aksi terbaik mengepalai barisan tengah skuad Badak, bergandingan baik dengan Miguel Cifuentes yang dilihat berjaya mengkucar kacirkan pertahanan PSM Makassar untuk kemenangan kedua dalam kempen Piala AFC musim ini.