PELUMBA Yamaha Fabio Quartararo mendominasi perlumbaan MotoGP Grand Prix Catalunya dikala pencabar terdekata Aleix Espargaro terpaksa melupakan podium selepas tersilap mengira jumlah baki pusingan.

Penyandang juara dunia itu yang mengumumkan lanjutan kontrak dua tahun bersama Yamaha menampilkan tunggangan hebat dari awal hingga akhir perlumbaan untuk mengukuhkan kedudukan beliau dalam kejuaraan pelumba musim ini.

 

Selain bergelar juara, hari pelumba kelahiran Perancis itu bertambah manis apabila kesilapan besar Espargaro yang telah merayakan tempat kedua beliau satu pusingan lebih awal apabila menyangka perlumbaan sudah tamat

Beliau menyedari kesilapan itu ketika sedang melambai kepada penyokong tuan rumah melalui beberapa selekoh sebelum kembali berlumba dan terpaksa akur menamatkan perlumbaan di tempat kelima apabila kehilangan lapan saat pada pusingan terakhir.

Dengan kemenangan itu, Quartararo kini selesa dengan 22 mata mengatasi Espargaro dalam kedudukan pelumba dengan Enea Bastianini ketinggalan 53 mata.

Sementara itu dalam perlumbaan Moto2, protege Valentino Rossi, Celestino Vietti muncul juara manakala Izan Guevara memenangi perlumbaan Moto3 dalam aksi di Litar Catalunya.