PENYOKONG unik Kedah Darul Aman FC dikenali sebagai Puaka Jerai menggesa pihak pengurusan KDA FC segera menyelesaikan isu berbangkit yang mula kedengaran dalam kalangan penyokong ketika ini.
Dia yang popular dengan kostum hijau dan kuning berserta imej bunga matahari ini sentiasa hadir di setiap venue perlawanan membabitkan skuad Sang Kenari terutamanya di Stadium Darul Aman termasuk bagi menceriakan penyokong mengambil sikap menegur dan bukannya melenting.
“Masalah berbangkit ini seringkali kedengaran saban tahun. Ingatlah pihak pengurusan kena ambil berat tentang kebajikan pemain jangan sesekali mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.
“Sekali lagi saya tegaskan di sini agar pihak pengurusan segera selesaikan isu-isu berbangkit yang kedengaran hari ini.
“Jika isu berbangkit hari ini dapat selesai saya yakin kita akan kuat, jangan biarkan luka terus membusuk dan bernanah,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Kelab dari utara tanah air yang dibimbing oleh Nafuzi Zain baru-baru ini ditunjukkan jalan keluar pasukan Kuching City FC sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi muram dan berang penyokong setia.
Malah, harapan Sang Kenari dalam misi ke Asia semakin sukar kerana baki empat perlawanan sangat genting bagi meraih 12 mata penuh memandangkan lawan bakal ditemui mula mempamerkan kebangkitan masing-masing.
“Jika benar ada masalah berbangkit dalam pasukan kita, saya tegaskan agar ianya perlu serta merta mengambil langkah untuk selesaikan dengan bijak. Bukan caranya menjanjikan sesuatu yang manis tetapi hanya sekadar di atas kertas atau dibibir sahaja.
“Masing-masing ada peranannya penyokong ada peranan penyokong, pihak pengurusan ada peranannya dan pemain juga ada peranannya. Sebagai penyokong saya juga mempunyai hak bersuara dan memberi pandangan saya dalam sukan ini.
“Pandangan serta teguran penyokong juga perlu diambil kira jangan hanya dengar telinga kanan keluar telinga kiri, sia-sialah jika kita duduk semeja,” kata Puaka Jerai atau namanya Zulkifli Hashim yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Puaka Jerai (PJFC).
Menurut Zulkifli lagi, kesetiaan penyokong sanggup datang dari jauh dengan pelbagai latar belakang seperti petani, nelayan, penoreh getah, peniaga lain-lain pekerjaan adalah hanya mengharapkan kejayaan pasukan.
“Ada penyokong berpuluh berbelas tahun yang sentiasa mengharapkan kejayaan dan perubahan dalam bola sepak Kedah. Apa yang penyokong korbankan, balaslah dengan kejayaan,” luahnya lagi yang berasal dari Yan.