SELEPAS 27 tahun, skuad bola sepak Selangor 1995 akhirnya menerima habuan yang dijanjikan kepada setiap pemain iaitu sebidang tanah selepas menjulang trofi Piala Malaysia.
Biarpun mengambil masa yang agak panjang, semua pemain dan pegawai yang terlibat dalam skuad 1995 kini boleh tersenyum dengan tuntutan janji itu sudah terlaksana.
Menurut kapten pasukan, Ismail Ibrahim meluahkan rasa penghargaan di atas segala usaha dan keprihatinan Kerajaan Negeri Selangor yang mengambil tanggungjawab melunaskan janji tersebut.
“Saya selaku ketua pasukan bersama Asmawi Bakiri dan Puan Siti Mariam, isteri kepada Allahyarham Anuar Abu Bakar mewakili seluruh rakan-rakan sepasukan dan pegawai skuad bola sepak Selangor 1995 ingin menyampaikan ucapan penghargaan jutaan terima kasih kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-haj, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Exco Kerajaan Negeri dan agensinya (Lembaga Perumahan Hartanah Selangor, Presiden FAS Raja Muda Selangor (RMS) Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan barisan kepimpinannya, semua pihak dan individu yang terlibat secara langsung atau tidak dalam membantu menuntut hak kami ini.
“Kami sangat menghargai segalanya, terutama Datuk Seri Amirudin kerana mengambil tanggungjawab ini selaku Ketua Kerajaan meski pun pada tarikh kejadian, beliau baharu berusia 14 tahun dan sedang bersekolah,” jelasnya dalam satu kenyataan media pada Ahad.
Tambah Ismail, tuntutan ini menjadi kenyataan selepas Exco Perumahan Kerajaan Negeri Rodziah Ismail menjemput untuk berbincang mencari jalan penyelesaian pada 30 Mei lalu.
“Sesungguhnya kami merasa amat terharu apabila mendapat jemputan bagi membincangkan perihal tuntutan kami ini. dan apa yang lebih menggembirakan kami adalah, kaedah cadangan penyelesaian yang tuntas serta berjaya mengakhiri tempoh penantian kami selama 27 tahun.”
Sebagai rekod, isu tuntutan ini menjadi perhatian selepas pendedahan yang disiarkan di Astro Arena pada 11 November 2020 sehingga telah diambil maklum dan ditangani secara serius oleh pihak-pihak yang terlibat.