SKUAD Harimau Malaya memulakan hari pertama kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Sabtu sebagai persiapan ke Kejohanan Pestabola Merdeka bermula 13 Oktober ini tanpa tiga pemain utama.

Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengesahkan tiga pemain itu adalah pertahanan Buriram United, Dion Cools dan pemain muda SJK Seinajoki FC, Nooa Laine yang mempunyai komitmen bersama kelab masing-masing dan tonggak Sabah FC, Stuart Wilkin.

Cools dan Laine dijangka menyertai pasukan pada Isnin manakala Wilkin mengalami kecederaan hamstring yang memerlukan rawatan susulan sebelum dibenarkan menjalani latihan.

“Fokus pada dua atau tiga hari pertama ini adalah lebih kepada pemulihan prestasi para pemain kerana kebanyakan dari mereka mengharungi perlawanan Liga Juara-Juara AFC dan Piala AFC

“Isnin ini bermulanya kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa), jadinya saya fikir lebih ramai pemain akan tiba iaitu menjangkakan Nooa dan Cools akan hadir.

“Kami melakukan pemeriksaan petang ini dan mengetahui hanya Stuart mengalami kecederaan hamstring, oleh itu kami akan melakukan pemulihan dan mungkin Isnin atau Selasa boleh sertai pasukan manakala pemain lain berada dalam keadaan terbaik,” katanya.

Pan-gon juga menyatakan kem kali ini akan menjadi medan ujian buat para pemain untuk merebut tempat dalam skuad ke Piala Asia tahun hadapan dan dia berharap para pemain selesa untuk bersaing antara satu sama lain seterusnya meningkatkan kualiti dalam pasukan.

Malaysia akan menguji pasukan nombor ranking ke-102 dunia, India dalam perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2023 pada 13 Oktober manakala perlawanan kedua berlangsung pada 17 Oktober di Stadium Nasional Bukit Jalil.