PELUMBA CKJ Racing Team Md Izzat Zaidi Md Salehan kritikal selepas terlibat dalam kemalangan ketika sesi ‘Super-Pole’ pada perlumbaan Cub Prix Malaysia di Litar Bandar Medini, dekat Iskandar Puteri, pada Sabtu.

Pengurus Pasukan CKJ Racing Amer Saad yang mengesahkan kejadian tersebut dipetik Bernama, berkata pelumba berusia 27 tahun itu, patah tulang rusuk kiri dan mengalami pendarahan di bahagian paru-paru.

Pelumba berasal dari Selangor itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) selepas selesai menjalani pembedahan pada 4 pagi Ahad tadi.

“Md Izzat masih bergantung 100 peratus pada mesin bantuan pernafasan dan menurut doktor mereka akan tunggu dalam masa 48 jam untuk melihat sama ada masih terdapat pendarahan di paru-paru,” katanya.

Hari ini tular satu video berdurasi 26 saat di Facebook, video kemalangan membabitkan pelumba tersebut yang menunjukkan jentera Yamaha dipacu sewaktu sesi Super-Pole CP150 melanggar penghadang jalan dan terbabas ke pagar keselamatan yang diletakkan di tepi litar.

Sementara itu,turut tular, hantaran daripada isteri Md Izzat di Instagram milik ‘‘elyshanorizal” yang memohon orang ramai agar mendoakan suaminya yang selesai menjalani pembedahan dan bergantung 100 peratus pada mesin bantuan pernafasan.

Turut dimuat naik sekeping gambar dipercayai Md Izzat yang dipercayai baru selesai pembedahan.

ARTIKEL BERKAITAN : Izzat catat masa terpantas kategori Underbone 150cc Kejuaraan FIM Asia Road Racing

“Assalamualaikum, Saya isteri kepada Md Izzat Zaidi ingin memohon doa kalian agar diberikan keajaiban serta kesembuhan buat suami saya Izzat.

“8 October 2023 Izzat telah menjalani pembedahan disebabkan banyak kecederaan dibahagian paru paru nya dan sebahagian tulang rusuk yang patah. Izzat kini bergantung 100 peratus pada mesin bantuan pernafasan buat masa sekarang dan ditempatkan di ICU Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru Keadaannya sangat kritikal.

“Semoga Allah SWT mudahkan urusan dan angkat segala penyakit beliau. AMIN,” tulis hantaran itu.