PEMAIN pertahanan kebangsaan, Junior Eldstal gembira dengan keharmonian yang ada di bilik persalinan Harimau Malaya dan yakin barisan kali ini mampu mencipta sejarah baharu buat Malaysia dengan muncul juara Kejohanan Pestabola Merdeka 2023.
Junior adalah sebahagian daripada pemain skuad B-23 tahun negara yang menjuarai kejohanan bersejarah ini pada 2013 dengan dia sendiri menjadi penjaring ketika menewaskan Myanmar 2-0 di Stadium Darulmakmur, Kuantan.
“Skuad ini sudah bersama lama dan hanya beberapa pertukaran dilakukan yang menjadikan kami harmoni dalam bilik persalinan dan kami sedar Pestabola Merdeka adalah kejohanan yang ada banyak sejarah di Malaysia dan mahu lakukan yang terbaik seperti 10 tahun lalu.
“Sudah tentu kami mahu ulangi pencapaian yang lama dan ketika itu adalah momen terbaik saya dalam bola sepak Malaysia dan kini kami mahu cipta sejarah yang baharu dengan skuad ini,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Junior juga mengalu-alukan persaingan di posisi yang dimainkan kerana dia faham apa yang dimahukan jurulatih dan Kim Pan-gon juga mengenali dirinya sebagai pemain serta tahu apa kekuatan dan kelemahan yang ada pada dirinya.
“Kem kali ini adalah persediaan untuk Piala Asia dan kami perlu memahami taktikal yang dikehendaki jurulatih. Untuk itu saya berikan 100 peratus kepada negara kerana banyak persaingan terutama di skuad kebangsaan. Saya mempunyai hubungan baik dengan jurulatih kerana dia tahu kekuatan dan kelemahan saya.
“Kami tahu kami mampu menang dengan China dan Syria dan kami semakin yakin dengan proses ke Piala Asia ini kerana ketika saya datang ke Malaysia 10 tahun lalu saya dapati kita mempunyai banyak pemain yang berbakat dan percaya dengan segala proses perubahan.
“Kelab juga main peranan penting dengan menukar mentaliti pemain untuk bermain di peringkat kebangsaan disertai Kim Pan-gon punya pengalaman di Korea dan semuanya berjalan dengan baik di pasukan ini,” jelasnya.
Pemain berusia 31 tahun itu juga sudah tidak sabar mahu kembali ke Stadium Nasional Bukit Jalil kerana baginya ‘there is no place like home‘ apabila bermain di Bukit Jalil di hadapan pemain ke-12.