ZAIJIAN Hangzhou! Berakhir sudah pesta pertandingan sukan antarabangsa seluruh benua Asia, namun ia membuka satu lembaran baharu untuk dimulakan.

Pertunjukan penutup yang menakjubkan dipamer tuan rumah, Hangzhou dengan kemeriahan pesta lampu, cukup meriah walaupun Sukan Asia ke-19 sudah melabuhkan tirainya.

Kontinjen negara menamatkan saingan di kedudukan ke-14 dengan kilauan enam pingat emas, lapan perak dan 18 gangsa membabitkan keseluruhan 32 pingat, satu pencapaian yang agak rendah, yang disifatkan beberapa pihak sebagai memuaskan malah tidak juga tidak cemerlang.

Kedudukan kontinjen negara bertanding di Sukan Asia 19, Hangzhou, China.

Namun bagi mengukur pencapaian atlet negara di Temasya Hangzhou itu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengandalkan kepada perbandingan jumlah pingat emas dengan jumlah bilangan atlet negara yang bertanding di temasya empat tahun sekali itu.

Dalam satu info grafik laman sosial Instagram milik Seasia Stats yang dikongsi MOM, meletakkan kontinjen negara mencapai nisbah paling menakjubkan dalam kalangan negara Asia Tenggara, dengan nisbah pencapaian 2.07.

Perangkaan dikeluarkan Seasia Stats, menunjukkan pencapaian kutipan pingat emas Sukan Asia Hangzhou 2022, berbanding jumlah atlet dalam kalangan negara Asia Tenggara.

Meskipun hanya enam pingat emas dirangkul kontinjen negara, namun dibandingkan dengan jumlah atlet yang jauh lebih kecil berbanding negara jiran, Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam dan Singapura, nisbah kutipan pingat emas negara jauh lebih tinggi, sekali gus meletakkan Malaysia di kedudukan teratas.

Ironinya, pencapaian ini bagaikan piramid terbalik jika dibandingkan dengan prestasi di Temasya Sukan Sea Kemboja April lalu, yang menyaksikan kontinjen negara di kedudukan ketujuh di belakang Singapura, Filipina, Kemboja, Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Malah, nisbah kutipan pingat emas berbanding bilangan atlet Indonesia, Thailand dan Vietnam, di Sukan Asia, jauh lebih rendah berbanding Malaysia.

Ketua kontinjen ke Sukan Asia Hangzhou 2022, Datuk Chong Kim Fatt ketika merumuskan pencapaian atlet negara di temasya itu semalam.

Statistik Seasia Stats menunjukkan Indonesia berada di kedudukan kedua dengan nisbah 1.69 selepas meraih tujuh pingat emas menerusi 414 atlet bertanding.

Thailand yang menghantar 934 atlet, hanya berjaya meraih 12 pingat emas sekali gus mencatat nisbah 1.28.

Filipina menghantar 391 atlet, mencatat nisbah 1.02 dengan hanya empat emas, diikuti Vietnam nisbah 0.90 menerusi 3 emas dariopada 332 atlet dan Singapura mencatat nisbah 0.69 menerusi tiga emas daripasda 431 atlet.

Sementara negara Asia Tenggara lain seperti Myanmar, sekadar membawa pulang satu emas, Brunei, Laos, Kemboja dan Timor Leste pula tiada pingat emas.

Begitupun, MOM tidak boleh terlalu selesa dengan ukuran nisbah kutipan pingat emas dibanding bilangan atlet negara yang mengambil bahagian, kerana badan induk sukan kebangsaan itu sendiri menetapkan penyertaan atlet ke Sukan Asia bukan untuk pendedahan, sebaliknya untuk pencapaian dan membawa pulang pingat.

Tuan rumah Sukan Asia 19, Hangzhou mempamerkan teknologi mereka apabila seluruh bandar bergemerlapan bermandu cahaya.

Beberapa syarat ditetapkan MOM dalam pemilihan atlet ke temasya ke-19 ini, iaitu atlet hendaklah memiliki pencapaian empat dan lapan terbaik di rantau Asia.

Jika benar perbandingan kutipan pingat berbanding atlet digunakan, mungkin mereka perlu menggunakan kaedah sama dalam mengukur pencapaian sukan tertentu berbanding jumlah acara dan atlet yang dihantar kali ini, terutamanya sukan besar seperti badminton.

Skuad badminton negara mengambil bahagian dalam enam acara, iaitu berpasukan lelaki (10 orang), perseorangan lelaki (2 wakil), perseorangan wanita (2 wakil), beregu lelaki (2 wakil), beregu wanita (2 wakil), beregu campuran (2 wakil) dan hanya membawa pulang satu pingat perak.