LEGENDA lumba motosikal negara, Wazi Abdul Hamid berpandangan insiden kemalangan yang berlaku semalam memerlukan perhatian khusus oleh semua pihak terlibat kerana sudah semakin kerap melibatkan nyawa anak-anak muda berbakat Malaysia.

Menurutnya, keadaan terkini pelumba CKJ Racing Team Md Izzat Zaidi Md Salehan dilaporkan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) dekat Johor.

Katanya lagi, Md Izzat masih menggunakan bantuan pernafasan selepas terlibat kemalangan dalam perlumbaan di Litar Bandar Medini pada Sabtu.

“Litar perlu menjadi lebih selamat untuk setiap pelumba tidak kira amatur atau profesional.

“Bukan sekadar di atas kertas tapi perlu perlaksanaan yang lebih baik. Nak kata tiada spesifikasi, semuanya dah lengkap termasuk adanya COC, steward, safety officer, medical, track inspector hatta RELA pun ada,” katanya mengulas indisen pelumba ditimpa kemalangan semasa perlumbaan Cub Prix.

Wazi yang bersara daripada kegiatan perlumbaan motosikal pada Disember 2006 namun masih aktif dalam dunia permotoran sebagai perunding permotoran menagih sokongan dan titipan doa rakyat Malaysia kesembuhan Md Izzat.

“Jom kita doakan agar Izzat terus diberi kekuatan menghadapi ujian. Beliau antara rider yang baik dan sering menegur saya jika terserempak.

“Malah, dia sering tersenyum dan menghormati penunggang veteran,” katanya.

No photo description available.

Wazi Abdul Hamid

ARTIKEL BERKAITAN : Cub Prix : Pelumba Izzat Zaidi kritikal selepas kemalangan

Portal ini melaporkan memetik kenyataan Pengurus Pasukan CKJ Racing Amer Saad yang mengesahkan kejadian tersebut berkata pelumba berusia 27 tahun itu, patah tulang rusuk kiri dan mengalami pendarahan di bahagian paru-paru.

Tular video kemalangan membabitkan pelumba tersebut yang menunjukkan jentera Yamaha dipacu sewaktu sesi Super-Pole CP150 melanggar penghadang jalan dan terbabas ke pagar keselamatan yang diletakkan di tepi litar.