KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menerusi Menterinya, Hannah Yeoh memohon kategori tambahan dalam pelepasan cukai pada Bajet 2024 sebagai pemangkin bagi menggalakkan penglibatan lebih ramai rakyat dan komuniti dalam sukan.

Kategori baharu yang dipohon adalah pelepasan cukai kepada ibu bapa yang menghantar anak-anak menjalani latihan sukan kerana ianya akan menarik lebih minat untuk berlatih sukan dan juga boleh mewujudkan lebih peluang pekerjaan kepada para jurulatih.

“Harapan saya satu sahaja yang telah disampaikan pada Kementerian Kewangan iaitu saya hanya minta diadakan kategori pelepasan cukai baharu kepada ibu bapa yang hantar anak-anak berlatih sukan.

“Ianya akan menarik minat ibu bapa untuk menghantar anak-anak belajar sukan dan wujudkan peluang pekerjaan kepada jurulatih sekali gus akan hasilkan lebih banyak bakat baharu dalam sukan,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran U.S. Kids Golf Malaysia Local Tour 2023 di Putrajaya.

Selain itu Hannah juga menyeru kelab-kelab golf di Malaysia untuk memberi ruang dan peluang kepada pihak sekolah dan juga golongan B-40 untuk mendapat akses kepada sukan golf untuk mencungkil lebih ramai lagi bakat-bakat muda dalam sukan ini yang sebelum ini sinonim dengan sukan bangsawan.

“Saya juga menyeru kepada semua kelab-kelab golf di Malaysia untuk cari peluang dan buka ruang untuk golongan B-40, mungkin bukan sepanjang minggu tetapi wujudkan slot khas di mana kita galakkan penglibatan golongan B-40 dan juga kepada pihak sekolah,” katanya.

Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia (SportExcel) akan melancarkan enam siri kejohanan golf kanak-kanak yang bakal berlangsung di Kelab Golf Negara Subang, Penang Golf Resort dan A’Famosa Resort dengan jangkaan penglibatan seramai 108 orang kanak-kanak dari seluruh negara bermula 31 Oktober 2023.