TURKMENISTAN menjadi medan lawan pertama untuk dihadapi skuad Harimau Malaya menjelang Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 bagi Kumpulan E di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 8-14 Jun.
Malahan, skuad bergelar Emerald itu muncul pasukan pertama yang tiba di Kuala Lumpur pada Rabu lepas.
Kekuatan Turkmenistan bergantung sepenuhnya kepada Altymyrat Annadurdyyev yang telah menjadi sumber utama penjaring gol skuad kebangsaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Penyerang Altyn Asyr itu berada dalam senarai penjaring dalam kemenangan ke atas Lubnan dan Sri Lanka pada pusingan sebelumnya dan berkemungkinan menjadi ancaman terbesar untuk negaranya sekali lagi.
Tidak banyak maklumat yang diperolehi tentang pasukan itu, begitu misteri ditambah pula tiada langsung rekod pertemuan antara Malaysia dan negara di Asia Tengah itu sama ada di peringkat junior ataupun senior.
Malah, kedudukan Turkmenistan juga dilihat lebih baik apabila menghuni pada tangga 134, iaitu 20 anak tangga lebih tinggi berbanding pasukan kendalian Kim Pan-gon.
Bagi kem negara, kita miliki Safawi Rasid yang beraksi cemerlang pada pusingan kelayakan membantu Malaysia menewaskan pesaing ASEAN, Thailand dan Indonesia apabila mereka menamatkan saingan di atas kedua-duanya sebelum dia menjaringkan empat gol pada Piala AFF dan menamatkan saingan sebagai penjaring bersama.
Pemain Johor Darul Ta’zim itu, yang boleh melepaskan tembakan dari jarak jauh, kini akan menyasarkan untuk memimpin Harimau Malaya layak ke Piala Asia AFC pertama mereka sejak menjadi tuan rumah bersama pertandingan itu pada 2007.
Jangan lupa hadir dan saksikan beramai-ramai pertemuan saingan pembukaan Malaysia dan Turkmenistan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu bermula jam 9 malam.