AKSI terpuji pemain bola sepak negara B-23 kebangsaan hanya dapat dikekalkan pada awal 20 minit permainan sebelum akur kehebatan Thailand yang menang 3-0 di Stadium Bunyodkor, Tashkent, Uzbekistan, pada Sabtu.
Kemudian, nasib malang menimpa anak buah Brad Maloney apabila bocor lagi dua gol di babak kedua sekali gus meranapkan sisa impian ke suku akhir Piala AFC B-23.
“Memang mengecewakan kami kalah pada perlawanan ini. Kami cukup bagus mengawal permainan dan selepas 20 minit segalanya bertukar,” ujarnya pada sidang media selepas perlawanan.
Jurulatih kelahiran Australia itu juga akan berbincang dengan dengan pengurusan tentang kedudukannya bersama pasukan selepas ini sebaik pulang ke Malaysia nanti.
Gol pendahuluan menerusi Suphanat Mueanta di babak pertama selepas rembatannya tertampan Harith Haiqal sebelum menerjah jaring terus mengubah rentak Harimau Muda yang kelihatan longlai tidak bernafsu memburu jaringan ke kubu lawan.
Harimau Muda yang menghuni tangga terbawah Kumpulan C tanpa sebarang mata akan melengkapkan aksi peringkat kumpulan berdepan Vietnam, pada Rabu.
Pencapaian terbaik Malaysia B-23 dalam kejohanan ini adalah mara ke peringkat suku akhir edisi 2018 sebelum disingkirkan Korea Selatan di Kunsan, China.