DEMI memastikan peralihan tampuk kepemimpinan berjalan lancar, semua ahli majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebulat suara bersetuju, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menggantikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria bermula Januari tahun depan
Pengumuman itu dibuat sendiri Norza, selepas cadangan beliau untuk melantik Tengku Zafrul dipersetujui 15 ahli gabungan.
Norza berkata, pemilihan Tengku Zafrul yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), dipersetujui menteri terbabit selain mendapat restu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Mohamad Norza juga percaya personaliti serta kepimpinan yang dimiliki Tengku Zafrul dapat membantu beliau untuk memahami ekosistem badminton, sekali gus meneruskan legasi Malaysia sebagai antara kuasa besar badminton dunia.
“Ahli Majlis sudah sebulat suara bersetuju Tengku Zafrul sebagai Presiden baharu BAM menggantikan diri saya. Butiran lanjut akan dibincang secara dalaman dan diumum pada mesyuarat Majlis hujung tahun ini.
“Sebagai pemimpin, saya perlu tentukan kesinambungan terhadap kepimpinan itu. Paling penting adalah BAM tidak pernah ada krisis kepimpinan, jadi kita mahu teruskan tradisi tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara.
Norza menaruh sepenuh keyakinan terhadap kredibiliti yang dimiliki Tengku Zafrul bagi membawa arena badminton negara ke tahap lebih tinggi serta membawa pulang Piala Thomas dan pingat emas Sukan Olimpik untuk Malaysia.
Katanya, pelantikan Tengku Zafrul mampu memberi nilai tambah kepada badan induk tersebut selepas apa yang dilakukan Mohamad Norza sejak beliau menerajui BAM pada 2017 menggantikan Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff.
“Dengan adanya kepimpinan Tengku Zafrul yang dinamik, muda, progresif serta aktif dalam sukan, saya fikir beliau adalah calon paling tepat untuk menggantikan saya dan bawa BAM ke tahap lebih atas.