MATT Davies yang diberikan tanggungjawab sebagai kapten pasukan oleh Kim Pan-gon ketika mengatasi India 4-2 dalam aksi pertama Pestabola Merdeka mengakui dia teruja dengan gandingan tiga pemain muda yang mengetuai barisan serangan Harimau Malaya.

Pan-gon melakukan perubahan taktikal dengan meletakkan empat pemain dengan mentaliti menyerang — Darren Lok, Arif Aiman, Faisal Halim dan Akhyar Rashid dengan tiga dari mereka mempunyai purata umur 24 tahun dan berjaya memecah benteng lawan untuk memastikan kemenangan buat Malaysia selepas 11 tahun keatas India.

“Saya dapat rasakan tiga pemain muda itu menikmati perlawanan ini. Sebagai pertahanan, saya akui agak menakutkan melihat kelibat Arif, Faisal dan Akhyar berlari ke arah anda dan ditambah pula kehadiran Darren Lok.

“Melihat mereka menikmati perlawanan ini membuatkan kami mahu memastikan benteng yang kukuh bagi mengelak dari dibolosi,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Matt yang mendapat pujian Pan-gon sebagai kapten pasukan turut berbangga dengan aksinya dalam perlawanan itu dan berterima kasih kepada semua pemain kerana pengalaman mereka membantu dia menjalankan tugas sebagai kapten.

“Ianya sesuatu yang baik untuk menjadi kapten dan saya gunakan pengalaman saya ketika menjadi kapten pasukan Pahang selama empat tahun sebelum ini. Pasukan ini mempunyai banyak pemain yang berpengalaman dan ini membuatkan tugas saya lebih mudah.

“Tidak penting siapa yang menjadi kapten kerana semua kesebelasan yang diturunkan mampu menjadi kapten dan kami semua berkomunikasi dengan baik di atas padang serta membantu satu sama lain sepanjang permainan,” tambahnya.

Pemain kacukan Malaysia-Australia itu juga gembira apabila kembali beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil kerana merindui suasana yang bergemuruh di ‘Home of Harimau Malaya’ itu yang ditutup hampir setahun untuk kerja baik pulih padang.

Dengan kemenangan ini, Malaysia kini bakal berhadapan Tajikistan yang mendapat ‘bye’ selepas penarik diri Palestin dan berpeluang menjulang piala pertama buat Harimau Malaya sejak 2010.