JOHOR Darul Ta’zim (JDT) bukan sahaja memastikan setiap pemain di Akademi JDT mendapat fasiliti terbaik sebagai pemain bola sepak malah turut menekankan kepentingan pendidikan bagi memastikan masa depan mereka lebih terjamin.
JDT telah melakukan kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan penawaran program Diploma Sukan Dan Kecergasan khas buat para pelatih Akademi JDT yang baru menamatkan sesi persekolahan.
Menurut hantaran yang dilakukan di laman sosial rasmi kelab, menerusi kerjasama ini, seramai 27 orang pelatih yang berusia 18 tahun ke atas bakal mendaftar sebagai pelajar UTM bagi mengikuti program ini secara sepenuh masa selepas ini.
“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menandatangani perjanjian pembangunan pendidikan pemain dengan penawaran Program Diploma Sukan Dan Kecergasan khas untuk pelatih lepasan sekolah Akademi JDT.
“Program tersebut akan menawarkan pilihan kepada pelatih Akademi JDT untuk meneruskan pengajian sambil mengejar impian mereka menjadi pemain bola sepak selaras dengan hasrat pihak pengurusan JDT yang prihatin kepada masa depan dan hala tuju para pelatih.
“Para pelatih yang mengikuti program diploma ini juga akan diberikan pilihan untuk melengkapkan program ijazah sarjana muda bagi memastikan mereka mempunyai pelajaran untuk bergantung pada masa hadapan.
“Kerjasama ini juga menyaksikan seramai 27 orang pelatih yang berusia 18 tahun ke atas bakal mendaftar sebagai pelajar UTM bagi mengikuti program ini secara sepenuh masa selepas ini,” tulis kenyataan media itu.
Sebelum ini JDT dam UTM juga mempunyai hubungan yang baik dengan kesemua pelatih Akademi JDT menggunakan asrama dan kemudahan sukan di UTM yang dinaik taraf sesuai mengikut kehendak latihan bola sepak moden.
“JDT dan UTM juga mempunyai hubungan yang sangat baik beberapa tahun kebelakangan ini di mana Pelatih Akademi JDT sepenuh masa tinggal di Asrama UTM dan menggunakan kemudahan sukan di sana.
“Akademi JDT adalah satu-satunya akademi sepenuh masa kelab bola sepak profesional yang menawarkan latihan bola sepak, pendidikan dan penginapan.”
Ini adalah langkah yang baik dilakukan JDT bagi melahirkan pemain yang bukan sahaja cemerlang di dalam padang tetapi mempunyai kualiti pendidikan yang tinggi yang boleh digunapakai dalam kehidupan seharian selepas bersara dari bola sepak.