KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon nyata gembira apabila eksperimen yang dilakukan dengan meletakkan empat pemain serangan berjaya memberikan aksi mengujakan dan juga kemenangan buat para penyokong.
Pengendali Korea Selatan itu dengan berani mempertaruhkan gandingan Arif Aiman, Faisal Halim, Akhyar Rashid dan Darren Lok yang berjaya mengkucar kacirkan pertahanan India dengan dua daripada mereka dapat menjaringkan gol dalam kemenangan 4-2 dalam aksi Pestabola Merdeka 2023 pada Jumaat.
Menjawab soalan FLASH SUKAN ketika sidang media selepas perlawanan, Pan-gon mengakui ianya adalah pertukaran model perlawanan yang digunakan sebagai persediaan untuk mendapatkan kombinasi permainan terbaik menjelang Piala Asia di Qatar pada Januari 2024.
“Ianya sedikit pertukaran dalam model perlawanan kami dari masa ke masa. Ini kerana semasa saya datang ke sini ianya berbeza. Kami gunakan kekuatan yang ada pada kami dan ini kali pertama kami cuba formasi ini.
“Saya positif dengan formasi ini kerana sejak dari awal kita hampir mencipta lima hingga enam jaringan pada babak pertama. Kami meminta banyak dari pemain terutama pada babak pertama dan atas sebab itu mereka sedikit menurun pada babak kedua,” katanya.
Bagaimanapun formasi empat pemain serangan itu sedikit mendedahkan bahaya kepada barisan pertahanan Harimau Malaya yang sedikit kelam kabut apabila menerima serangan balas pantas dari lawan tetapi Pan-gon positif dengan kemampuan pasukannya.
Malaysia kini akan berhadapan Tajikistan dalam final Pestabola Merdeka pada Selasa dan Pan-gon dijangka akan bereksperimen sekali lagi bagi memastikan Harimau Malaya muncul juara kejohanan bersejarah itu selepas kali terakhir melakukannya pada 2013.