PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon menagih penyokong beramai-ramai hadir membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai tulang belakang Harimau Malaya untuk menjulang trofi Pestabola Merdeka 2023 pada Selasa.

Pan-gon berkata barisan pemain kali ini tampil lebih menyakinkan menerusi penambahbaikan daripada segi taktikal dan keupayaan pemain mengadaptasimya sekali gus mampu menghadirkan keputusan positif di perlawanan akhir.

“Ianya sesuatu yang menarik dan cantik apabila kita bermain di Stadium Nasional Bukit Jalil. Penyokong yang hadir adalah salah satu watak utama dalam bola sepak Malaysia dan ini adalah sesuatu yang sangat mengagumkan.

“Pada perlawanan sebelum ini, penyokong menyalakan lampu telefon bimbit sebelum perlawanan dan ianya sangat cantik. Di harap ramai yang datang ke stadium esok untuk mencipta suasana yang hebat dan kami akan berikan satu perlawanan yang menarik,” katanya ketika sidang media pra perlawanan.

Jurulatih berasal dari Korea Selatan itu juga mahu mencipta kemenangan dan dia sudah mengenalpasti beberapa kelemahan yang perlu diatasi dan menganggap kekalahan kepada Tajikistan tahun lalu sebagai nasib yang kurang baik.

“Sudah pastinya kita mahu menang kerana kita dalam laluan terbaik untuk mencapai ranking 120 terbaik dunia. Kita cukup agresif dan menguasai perlawanan cuma ada beberapa perkara harus diperbaiki supaya dapat mengekalkan keputusan positif.

“Pada perlawanan menentang Tajikistan pada final King’s Cup tahun lalu, kita hanya kalah penalti dan pada ketika itu hujan lebat,” katanya.

Sementara itu, Pan-gon juga tidak bersetuju dengan cara pengendali Tajikistan, Petar Segrt yang dirasakan seperti ‘menangis’ dahulu sebelum bertarung kerana kehilangan tonggak utama untuk perlawanan esok.

“Kenapa dia menangis sebelum perlawanan. Sebagai pemimpin, saya tidak akan sebut perkara ini kerana saya percaya pada pemain dan pasukan seterusnya akan lakukan terbaik. Jika jurulatih tidak ada keyakinan sebelum perlawanan dan hanya bergantung pada nasib baik, jika saya, saya tidak akan minta gaji,” katanya sinis.

Malaysia layak ke final Pestabola Merdeka selepas menewaskan India 4-2 dalam aksi separuh akhir pada Jumaat dan kini berpeluang menjulang kembali trofi kejohanan bersejarah ini selepas kali terakhir melakukannya pada 2013.