ACARA skuasy sah dipertanding pada Temasya Olimpik Los Angeles 2028, selepas dua badan induk skuasy dunia Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) dan Persatuan Skuasy Profesional (PSA) serta Skuasy Amerika Syarikat (US Squash), tidak lagi berselindung dalam menyatakan penghargaan kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
Menerusi kenyataan disiarkan pada laman sesawang World Squash, WSF, PSA dan US Squash mengalu-alukan keputusan IOC, yagn secara rasmi memilih skuasy untuk dimasukkan ke dalam program sukan di temasya terbabit.
Ketiga-tiga badan itu menyatakaan rasa bangga dengan keputusan IOC yang mengiktiraf skuasy dengan membawa masuk acara itu ke dalam Sukan Olimpik.
Menurut kenyataan terbabit, kemasukan skuasy ke Temasya LA28 akan dapat memberikan pengalaman segar kepada atlet, peminat dan seluruh komuniti sukan terbabit.
Presiden WSF, Zena Wooldridge berkata: “Mewakili seluruh komuniti global skuasy, saya amat berbesar hati kerana skuasy sebuah sukan yang dinamik dan amat sesuai dengan Temasya Olimpik.”
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PSA, Alex Gough pula, atlet skuasy tanpa mengenal rasa lelah berkerja keras untuk mendapat pengiktirafan sebegitu.
“Kami amat gembira kerana diberi peluang melihat atlet skuasy bersaing di Temasya Olimpik LA28.
“Kemasukan skuasy menjadi batu loncatan penting dalam sukan skuasy di masa akan datang dan saya tidak sabar melihat pemain dari menginspirasikan seluruh dunia menerusi kemahiran mereka,” kata Alex.
Bagi CEO US Squash, Kevin Klipstein pula: “Kemasukan skuasy di Olimpik menjadi penanda aras penting dalam sukan itu. Menjadi sebahagian daripada Sukan Olimpik sudah lama dinanti-nantikan komuniti skuasy dan pasti akan meningkatkan lagi populariti sukan itu.”
Pemain nombor 1 Amerika Syarikat (AS), Amanda Sobhy menggambarkan keputusan itu sentiasa diimpikan pemain skuasy di seluruh dunia.
“Impian seorang atlet tentunya mahu bersaing di Olimpik, merebut pingat emas dan menyatakan diri seorang Olimpian, suatu perkara yang pihak lain tidak dapat nafikan.
“Dapat beraksi di LA28 dan bertanding di hadapan rakan dan keluarga, penyokong tempatan…. Ia amat bermakna,” kata Amanda.
Pada Temasya LA28, skuasy menawarkan dua pingat emas masing-masing satu dalam perseorangan lelaki dan perseorangan wanita.