PEMAIN futsal wanita negara, Intan Sarah Anisah binti Zulgafli berkata pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan dalam kempen Sukan SEA 2021 Vietnam adalah apabila dimasukkan ke hospital disebabkan muntah dan cirit-birit yang teruk.
Peristiwa tersebut juga digambarkan antara episod ngeri pernah menimpa kapten pasukan ini apabila mengalami muntah berdarah.
Namun, dia telah meminta agar tidak berada di dalam hospital sambil lebih rela untuk berada di hotel semasa tempoh tersebut.
Permintaan tersebut berjaya diterima pihak hospital Vietnam tetapi dia tetap akan diperiksa oleh pegawai kesihatan bagi memastikan sentiasa berada dalam keadaan terkawal.
Menurut Intan, dia turut dibekalkan dengan beberapa minyak esensi yang diberikan jurulatih kepadanya untuk segera pulih daripada keadaan yang dikategorikan sangat teruk pada ketika itu.
Alternatif minyak esensi tersebut dilihat berkesan apabila dia tidak lagi cirit-birit pada hari perlawanan sebenar.
Dengan nada terharu, Intan menzahirkan ucapan terima kasihnya terhadap beberapa rakan pihak Institut Sukan Negara (ISN) yang sering berada di sisinya ketika memerlukan.
Selain itu, pemain yang lebih mesra disapa Serah turut teruja apabila dikunjungi Datuk Seri Rosmadi dan Datuk Mohamad Hisamudin yang menjaga pasukan futsal seperti anak kandungnya sendiri apabila memenuhi permintaannya dengan menghantar bubur dan ikan talapia goreng sebagai hidangan pembuka selera.
Ia merupakan detik paling bermakna buat Serah apabila berjaya menghadiahkan pingat gangsa buat Malaysia dalam kempen Sukan SEA 2021, Vietnam, meskipun bergelut dengan kesakitan yang dialami.