MULAI hari ini, pastikan anda menyimpan sekurang-kurangnya sehelai baju kuning atau baju hitam yang kosong di dalam almari. Kenapa? Ini kerana kedua-dua warna ini mewakili warna pasukan kebangsaan kita, Harimau Malaya.

Setiap kali ke stadium menonton perlawanan melibatkan pasukan kebangsaan, antara pandangan yang tidak sedap dilihat ialah kehadiran penyokong Malaysia memakai jersi kelab atau negara luar kerana yang bermain di padang ialah Malaysia, berjersi kuning atau hitam dan bukannya Manchester United, Liverpool England atau Argentina.

Masih ada mentaliti ‘asal boleh’ atau ‘asal jersi’ dalam kalangan penyokong Malaysia untuk tidak memakai jersi atau warna kebangsaan dengan pelbagai alasan yang diberikan sebenarnya tidak boleh diterima.

Ini kerana penyokong sudah maklum lebih awal akan adanya perlawanan melibatkan skuad kebangsaan yang diwar-warkan maka tentunya mereka teruja untuk datang menyaksikan wira negara beraksi, jadi pastinya ada ruang masa untuk membeli jersi atau pakaian warna kebangsaan untuk hadir ke stadium.

Sedangkan golongan yang bukan ‘hantu stadium’ atau ‘bangsa final’ pun sanggup berhabisan semata-mata ingin memakai jersi kebangsaan malah ada yang memakai langsung selepas membeli di gerai jualan sepanjang jalan ke pintu masuk stadium.

Selain itu, ada juga beralasan bahawa mereka tidak mampu membeli jersi kebangsaan. Faham ramai yang tidak berkemampuan, jadi belilah sehelai baju kuning atau hitam sama ada di kedai fizikal mahu pun maya yang mudah dan murah untuk dimiliki.

Apabila memakai warna pasukan kebangsaan, barulah rasa seronok untuk menjadi antara pemain ke-12 kerana ramai-ramai bersatu hati semasa bersorak dengan warna yang sama.

Bagi golongan pengumpul jersi atau dikenali sebagai jersiwan pula menganggap tindakan penyokong Harimau Malaya yang datang ke stadium memakai jersi kelab atau negara luar adalah tindakan yang tidak seharusnya dilakukan dan perlu dibetulkan.

Salah seorang jersiwan, Rocco berpendapat bahawa penyokong mesti memiliki sekurang-kurangnya sehelai baju kuning atau hitam jika tidak mampu membeli atau memiliki jersi pasukan kebangsaan.

Salah seorang jersiwan yang mempunyai koleksi jersi skuad kebangsaan

“Kita ke stadium menyokong Malaysia, maka datanglah membawa imej negara. Kita sama-sama menyanyikan Negaraku, sama-sama bersorak meraikan gol tetapi ia tidak dizahirkan sewajarnya melalui penampilan. Ketepikan jersi kelab dan negara luar, kita dukung identiti kita dengan warna kuning dan hitam.

“Dalam kalangan jersiwan pun ramai yang mengumpul jersi kelab dan negara luar, tetapi apabila melibatkan pasukan kebangsaan, kami akan memakai jersi kebangsaan dengan penuh bangga,” jelasnya yang mempunyai koleksi jersi Harimau Malaya dari pelbagai generasi.

Jangan jadi seperti negara jiran kita, Singapura yang rata-rata penyokong mereka memakai jersi kelab Liga Perdana Inggeris berwarna merah berbanding jersi Singapura kerana sudah terlalu mengagungkan bola sepak negara Baginda Ratu itu.

Masih belum terlambat untuk kita mulakan kempen ini, Oleh itu, kita mulakan sekarang dan masih ada masa kurang sebulan sebelum perlawanan kelayakan menentang Kyrgyzstan. Hadir dengan baju warna kebangsaan dan buang sentimen kelab dan negara luar apabila menyokong Harimau Malaya. Simpan sehelai baju kuning dan hitam dalam almari anda.