MALAYSIA sedia menawarkan diri menjadi ‘tuan rumah’ buat Palestin untuk Pusingan Kelayakan Bersama Piala Dunia Fifa 2026/Piala Asia AFC 2027 apabila Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tidak membenarkan Algeria menjadi hos.

Sebelum ini Algeria telah menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah namun AFC tifak memberikan kebenaran atas alasan Algeria berada di Afrika dan Palestin perlu memohon venue neutral baharu yang berada di Asia.

Perkara ini mendapat perhatian Timbalan Menteri Belia Dan Sukan (KBS), Adam Adli yang menerangkan menerusi ciapan di laman sosial X peribadinya mengenai kesediaan Malaysia menjadi tuan rumah dengan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras menjadi pilihan.

“Kami sudah menghubungi Kedutaan Palestin pada sebelah petang dan menawarkan diri menjadi hos perlawanan antara Palestin dan Australia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Bandar Tun Razak bulan hadapan,” ciapnya.

Sebelum itu FLASH SUKAN telah mencadangkan kepada pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim agar Stadium Sultan Ibrahim yang serba lengkap dan mendapat penarafan AFC menawarkan diri sebagai venue neutral buat Palestin.

Ciapan tersebut mendapat respons positif daripada para penyokong dan rakyat Malaysia yang rata-rata menyatakan sokongan sebagai tanda solidariti buat Palestin yang kini sedang dilanda perang.

Palestin yang diundi dalam Kumpulan I bersama-sama Australia, Lebanon dan Bangladesh akan memulakan saingan bertemu Lebanon pada 16 November manakala aksi bertemu Australia dijadualkan pada 21 November 2023.