JOHOR Darul Ta’zim sepatutnya boleh mendapatkan jaringan yang lebih besar ketika menumpaskan Perak FC, namun Esteban Solari menyifatkan keputusan 4-1 sebagai adil.

Dominasi skuad Harimau Selatan terserlah sejak minit pertama termasuk berjaya mendapatkan dua gol awal di separuh masa pertama.

“Kami bermain bola sepak yang hebat, kami suka mencuba. Saya cakap kat pemain, untuk bermain bola ke bawah, bukan untuk memberikan hantaran panjang, dan pada akhirnya, kami menjaringkan empat gol.

“Kami boleh menjaringkan mungkin satu atau dua gol lagi. Tetapi saya rasa hasilnya, adil. Komposisi yang begitu hebat dari pemain muda lawan. Saya boleh menjangkakan persaingan yang begitu hebat,” kata pengendali kelab itu selepas perlawanan.

Tambah Solari, mereka dapat menguruskan kawalan bola pada separuh masa pertama dengan begitu baik sekali walaupun beraksi atas padang yang basah dan lembab.

“Separuh masa kedua lebih banyak berlari, tetapi masih mempunyai banyak peluang yang kami cipta. Saya rasa pemain telah beraksi dengan sangat baik,” ujarnya.

JDT kini boleh dikatakan selangkah kaki bagi mengulangi aksi mara ke final Piala Malaysia musim ini berbekalkan agregat selesa.

Malah, bermain di Stadium Sultan Ibrahim bagi pertemuan kedua pada 2 November depan dijangka tidak menimbulkan sebarang kegusaran buat barisan pemain JDT mencipta satu lagi kemenangan.