KESEDIAAN Malaysia menjadi tuan rumah bagi pasukan kebangsaan Palestin bertemu Australia pada Kelayakan Bersama Piala Dunia FIFA 2026/Piala Asia AFC 2027 akan dibincangkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) dalam masa terdekat.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman yang mengulas ciapan Timbalan Menteri KBS, Adam Adli yang menyuarakan hasrat bagi pihak Malaysia menjadi penganjur sebagai tanda solidariti buat Palestin.
Terdahulu, Algeria menawarkan diri menjadi tuan rumah tetapi ditolak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) atas alasan Algeria berada di negara Afrika dan Palestin perlu mohon venue berkecuali yang berada di Asia.
“Perkara ini akan dibincangkan nanti kerana kita sedar selepas ciapan dari Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli. Kita akan bincangkan dan maklum kepada semua nanti,” katanya ketika ditemui di majlis Sidang Media Road to Doha di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Noor Azman juga menyatakan FAM akan menyerahkan urusan ‘post mortem’ pasukan kebangsaan ketika Pestabola Merdeka 2023 baru-baru ini kepada ketua jurulatih Kim Pan-gon.
Dalam pada itu, FAM juga sudah mempunyai ‘plan B’ untuk venue Kelayakan Bersama Piala Dunia FIFA 2026/Piala Asia AFC 2027 sekiranya Stadium Nasional Bukit Jalil tidak dapat digunakan selepas masalah padang yang masih berulang sebelum ini.
“Setakat hari ini memang sah kita akan main di Bukit Jalil tetapi kita sentiasa memikirkan alternatif namun buat masa ini tiada keperluan lagi,” katanya.
FAM dengan kerjasama KBS telah menyokong program Road to Doha yang dilancarkan untuk menguruskan penyokong Harimau Malaya yang berminat untuk memberikan sokongan kepada Harimau Malaya di Piala Asia AFC 2023 di Qatar, pada Januari 2024.