PERTEMBUNGAN antara Kuala Lumpur City FC dan Terengganu FC dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras bakal menjadi medan dua jurulatih dari Croatia untuk mengintai peluang ke final buat kali pertama.
Perlawanan antara kedua-dua pasukan ini juga adalah umpama aksi ulangan separuh akhir Piala FA dahulu cuma yang dibezakan adalah KL City kini dikendalikan jurulatih baharu, Nenad Bacina manakala Terengganu kekal dengan khidmat Tomislav Steinbruckner.
Kedua-dua pengendali ini akan bertarung kepakaran taktikal bagi memastikan salah seorang wakil Croatia akan bersaing di final bertemu kemungkinan Johor Darul Ta’zim yang mudah membenam Perak FC 4-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir pertama di Stadium Perak, Ipoh pada Khamis.
Nenad Bacina yang menggantikan rakan senegaranya, Bojan Hodak sudah pasti mahu mencari kelebihan selesa bagi mengekalkan tradisi buat KL City yang layak ke tiga final sejak 2021 — Piala Malaysia 2021, Piala AFC 2022 dan Piala FA 2023 selain mahu menjadikan final pertama buatnya sebagai ketua jurulatih.
Tomislav Steinbruckner pula dalam cubaan kali kedua untuk layak ke final selepas dikecewakan lawan yang sama pada separuh akhir Piala FA dan dengan momentum yang ada pada Terengganu ketika ini, tidak mustahil mereka dapat membawa pulang kelebihan selesa untuk aksi timbal balik November nanti.
Bagaimanapun, segala kepakaran taktikal mereka berdua perlu diterjemahkan oleh barisan pemain yang diturunkan sekaligus akan mencipta satu perlawanan yang dijangka menarik dan berkualiti tinggi.
KL City berehat agak panjang hampir sebulan dan tempoh rehat ini digunakan Nenad Bacina untuk mempersiapkan pasukan dengan para pemain juga dilihat meletakkan aksi separuh akhir ini sebagai keutamaan bagi memastikan mereka layak ke final kedua musim ini.
Terengganu FC pula meskipun beraksi di Piala AFC, namun mereka juga mendapat rehat yang secukupnya dam Tomislav mengakui kesemua pemain berada dalam keadaan terbaik termasuk pemain yang dipanggil ke skuad kebangsaan.
Pengendali Croatia mana yang bakal meraih kejayaan dalam perlawanan pada Sabtu. Sama-sama kita saksikan perlawanan yang dijangka bersaing hebat di setiap bahagian dalam padang.
Sebagai rekod, dalam tiga pertemuan musim ini, kedua-dua pasukan terikat 0-0 sebanyak dua kali dan seri 3-3 dalam aksi Liga Super sekaligus memperlihatkan kekuatan seimbang kedua-dua pasukan ini.