PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora tidak memandang rendah keupayaan barisan pemain muda Guangzhou FC dan tidak pernah menganggap ianya adalah pasukan kedua wakil China itu menjelang perlawanan pembukaan Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC (ACL) pada Jumaat.

“Saya tidak menganggap ianya satu perlawanan yang mudah kerana mengenali Guangzhou FC, mereka memiliki akademi bolasepak terbaik di Asia dan sudah tentu mereka memiliki pemain yang berkualiti.

“Selain itu kami juga harus berwaspada dengan ancaman pemain muda dari China itu dan tidak boleh memandang rendah keupayaan pasukan lawan,” kata Mora pada sidang media pasukan hari ini.

Selain itu, Mora juga tidak menolak kemungkinan untuk menyenaraikan penjaga gol, Farizal Marlias dalam kesebelasan utama sekiranya ketua pasukan Harimau Selatan itu sudah pulih dari kecederaan yang dialami ketika perlawanan hujung minggu lalu.

“Belum pasti lagi. Kita akan lihat keadaannya ketika sesi latihan terakhir. Apapun beliau belum 100 peratus pasti boleh diturunkan tetapi saya tidak menganggap masalah kerana JDT mempunyai dua lagi penjaga gol yang bagus.” katanya pada sidang media pra-perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim.

Persiapan JDT dilihat lancar dan semua pemain sudah bersedia untuk beraksi dan merasa bertuah kerana dapat bermain di gelanggang sendiri untuk kesemua perlawanan kumpulan yang pastinya memberikan kelebihan buat JDT di hadapan penyokong fanatik mereka.

JDT juga berkemungkinan menurunkan Mauricio Dos Santos di bahagian pertahanan tetapi beliau masih perlu memilih pemain antarabangsa terbaik untuk diturunkan kerana kuota 3+1 pemain asing yang ditetapkan dalam saingan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi saingan ACL ini.

Pemain-pemain JDT menjalani latihan menjelang perlawanan pertama Kumpulan I esok. Foto: JDT

Sementara itu, pemain tengah Naxto Insa yang beraksi untuk musim keempat pada saingan ACL mengharap bermain di Stadium Sultan Ibrahim dapat memberi kelebihan kepada JDT namun beliau dan rakan sepasukan tetap berhati-hati dengan permainan pemain muda Guangzhou FC.

“Kita tidak tahu bagaimana corak permainan lawan kerana pemain muda mempunyai keazaman yang berbeza dan sudah tentu mereka mahu buktikan sesuatu dan kami harus sentiasa memberi fokus yang penuh pada aksi esok dalam usaha untuk melakar kemenangan pertama.

“Kami harus turun dengan lebih yakin dan tidak boleh melakukan kesilapan malah setiap pemain di posisi perlu memainkan peranan dalam aksi esok kerana apa yang penting adalah tiga mata penuh mampu dicapai dalam perlawanan pertama,” ujar Insa.