MUNCUL wira menjaringkan gol kemenangan buat Imigresen FC, Abdul Azim Rahim, selayaknya menjadi pemain paling gembira pada perlawanan menentang Melaka FC dalam aksi terakhir liga MBSB di Stadium Hang Tuah.
Penyerang The Mighty Tigers itu bukan sahaja menghadiahkan kemenangan perlawanan itu, malah memastikan Imigresen FC muncul juara liga dan dinobatkan sebagai pemenang kasut emas.
“Syukur Alhamdulillah, kami dapat tiga mata dan capai sasaran juara liga M3 tahun ini… saya juga dalam perlumbaan penjaring terbanyak dan berjaya melakukannya,” kata Abdul Azim, sejurus selepas Imigresen FC dinobat selaku juara Liga MBSB 2023.
Menurutnya, perlawanan menentang Melaka penuh dengan tekanan, kerana para pemain dan pasukan mahukan kemenangan untuk menjulang trofi kejuaraan.
“Dalam masa sama, kami bergantung harap kepada perlawanan Kuala Lumpur Rovers dan Harini FT agar berlangsung hambar, akhirnya mereka seri dan kami mencuri mata ke atas Melaka lalu muncul juara,” katanya yang tidak lekang dengan senyuman kegembiraan.
Ledakan gol Abdul Azim pada minit ke-34 perlawanan adalah jaringan ke-24 dalam saingan liga itu musim ini.
Mengulas mengenai peluang Imigresen FC, beraksi dalam Liga Super munsim hadapan, Abdul Azim yang senang dengan panggilan Balo berkata: “Sasaran memang nak bermain di Liga Super, tapi kalau pasukan kata ada bajet dan mahu saya berada dalam pasukan, saya akan bersama pasukan.”