MESKIPUN pengendali Ulsan Hyundai, Hong Myung-bo ingin membalas dendam terhadap kekalahan musim lalu kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), namun dia tetap berwaspada dan ambil sikap prejudis terhadap bola sepak Asia Tenggara dipecahkan oleh penyokong dan pemain Korea Selatan.
Ini kerana pada pendapatnya, bola sepak Asia Tenggara sudah tidak seperti dahulu kerana mereka lebih pantas dan bermain corak bola sepak moden serta JDT adalah contoh terbaik selepas mereka tewas dua kali pada musim lalu.
“Dahulu, bola sepak Asia Tenggara adalah berdasarkan kelajuan dan teknik namun kekurangan stamina dan fizikal. Tetapi kini mereka bermain corak permainan yang berbeza dan ianya juga dapat dilihat pada skuad kebangsaan mereka yang semakin kuat dan meningkat.
“Johor Darul Ta’zim adalah contoh terbaik dengan lebih separuh daripada pemain mereka adalah pemain warisan dan kelihatan seperti sebuah pasukan ‘All-Star’. Mereka sangat berbakat dan atas sebab inilah saya berpesan kepada pemain saya supaya membuang sikap prejudis dan ‘stereotypes‘ kepada kelab Asia Tenggara,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Hotel Hyundai, Ulsan.
Bekas pemain Piala Dunia 2002 Korea Selatan itu juga mengakui ACL musim ini lebih berbeza kerana mereka lebih fokus kepada kejohanan ini berbanding musim lalu yang lebih fokus kepada kejuaraan liga.
“Tahun lalu kami tidak fokus kepada Liga Juara-Juara sebaliknya mahu muncul juara K-League selain sekatan pandemik Covid-19 yang menyaksikan kami bermain secara karnival tetapi musim ini kami kembali ke Ulsan dan akan tunjukkan kepada penyokong dan kepada lawan, siapa kami yang sebenarnya,” jelasnya.
Ulsan Hyundai kini ditangga ketiga Kumpulan I berkongsi tiga mata dengan JDT tetapi dipisahkan dengan perbezaan jaringan dan Myung-bo mahu kekalahan tahun lalu tidak berulang di laman sendiri.