LEGENDA bola sepak Johor, Nasir Yusoff menyifatkan bahawa pertemuan Johor Darul Takzim (JDT) dan Ulsan Hyundai dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) esok sebagai satu misi balas dendam buat Ulsan Hyundai sendiri.

Perlawanan Kumpulan I yang akan berlangsung di Stadium Ulsan Munsu, Korea Selatan pastinya menarik untuk disaksikan selepas masing-masing berkongsi tiga mata sama dalam dua perlawanan sebelumnya.

Untuk rekod, JDT pernah melakar kejayaan dengan menewaskan pasukan dari Korea Selatan itu dalam dua perlawanan berturut-turut dalam saingan ACL musim lalu.

Hal ini pastinya menjadikan skuad Harimau Selatan itu ingin mencipta semula sejarah dengan memenangi aksi di stadium lawan, petang Selasa.

Dalam pada itu, Nasir atau turut dikenali The Professor berkata, beberapa perubahan yang dibuat termasuk dari segi jurulatih dan pemain akan menguatkan lagi momentum JDT untuk bertemu dengan Ulsan pada musim kali ini.

“Saya pasti kedua-dua pasukan sedang berada dalam prestasi yang baik tetapi berdasarkan perlawanan-perlawanan sebelum ini, JDT dilihat mempunyai kelebihan yang lebih daripada kelab Ulsan Hyundai.

“Bagaimanapun, JDT perlu lebih berwaspada dengan mereka kerana saya yakin Ulsan sangat menanti pertemuan esok bagi misi kebangkitan daripada kekalahan sebelum ini.

“JDT memandang semua perlawanan itu penting dan tidak kira untuk mengejar kedudukan atau mata tetapi kepentingan untuk menang dalam setiap perlawanan itu sangat diterapkan dalam diri pemain,” ujar Nasir kepada FLASH SUKAN.

Arif Aiman Hanapi yang merupakan wira JDT adalah salah seorang pemain yang diseru oleh Nasir bagi memberi ledakan bagi membawa kemenangan kepada pasukannya di Stadium Munsu, esok.

JDT kini berada di tangga kedua Kumpulan I dengan tiga mata apabila menang 4-2 ke atas BG Pathum United dari Thailand pada aksi kedua selepas tewas tipis 0-1 kepada Kawasaki Frontale pada aksie pembukaan ACL musim ini.