TIDAK dinafikan jumlah penyokong tuan rumah akan sedikit terjejas berikutan perlawanan Piala AFC 2023 antara Terengganu FC (TFC) dan Stallion Laguna FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin berlangsung pada jam 4 petang Khamis.

Menerusi pengumuman rasmi kelab, aksi yang sepatutnya dilangsungkan pada jam 8 malam terpaksa diawalkan bagi mematuhi peraturan negeri Terengganu yang tidak membenarkan sebarang penganjuran aktiviti hiburan secara rasmi pada malam Jumaat.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Tertinggi Ganusoccer.net, Bisharuzi Omar tetap meyakini pasukan kesayangan itu mampu meraih satu lagi kemenangan di laman sendiri peringkat Kumpulan G ke atas kelab dari Filipina itu.

“Saya yakin dengan pretasi semasa pasukan TFC di kancah pertandingan AFC dan separuh akhir Piala Malaysia. Barisan pemain ke-12 akan turun untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan TFC,” katanya, ketika dihubungi.

Sementara itu, Bisharuzi mengakui taktikal yang diterapkan jurulatih mula menampakkan keserasian dalam kalangan pemain tempatan dan tenaga import.

“Nampaknya Tomislav Steinbruckner sudah pandai gunakan Nurillo Tukhtasinov dan Ivan Mamut dan kedua-dua sudah mendapat rentak dan keserasian dengan rakan sepasukan.

“Cuma barisan penyudah kena lebih tajam untuk untuk tukarkan dalam bentuk jaringan,” katanya.

Dia juga menggesa lebih ramai turun ke stadium dan mengajak kawan-kawan lain bagi memeriahkan suasana walaupun bermain di sebelah petang pada hari bekerja.